
TANGGAL 31 Oktober 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan gah melancarkan Peta Hala Tuju (Roadmap) yang diberi nama F:30 dengan sasaran yang dianggap bercita-cita cukup tinggi.
Di bawah F:30, FAM mahu menjadikan bola sepak Malaysia sebagai lima gergasi Asia menjelang 2030.
Peta hala tuju itu dirangka dengan begitu sempurna yang melibatkan tiga fasa dalam tempoh 12 tahun dengan fasa pertama mulai 2019 hingga 2022.
Di bawah fasa pertama FAM mahu membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.
Ia disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.
Antara kata-kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika pelancarannya, beliau menyifatkan F:30 sebagai simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh di setiap lapisan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bola sepak yang disegani.
Kesungguhan FAM untuk mengubah landskap bola sepak negara agar kembali disegani sepertimana dikecapi ketika era 1980-an dahulu harus dipuji.

Yelah, sekurang-kurangnya mereka mempunyai perancangan jangka panjang di atas kertas, daripada tiada langsung.
Lagipun, ia satu langkah yang baik untuk membawa bola sepak negara ke hadapan.
Penulis tidak mahu mengulas pencapaian keseluruhan F:30 selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya sehingga perlu disenaraikan satu persatu.
Cuma penulis mahu melihat sejauh mana pembangunan bola sepak yang di bawah F:30 memenuhi matlamat yang dirangka.
Di bawah misi akhir pembangunan bola sepak, FAM menggariskan tujuh sasaran strategik, iaitu:
- Untuk berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia menjelang 2026.
- Untuk mendominasi rantau Persekutuan Bolasepak ASEAN menjelang 2023, dengan misi pasukan lawan gentar untuk berdepan Malaysia.
- Untuk mencabar pasukan gergasi Asia menjelang 2026.
- Untuk mencabar pasukan terbaik dunia pada 2030 dan seterusnya berada di kelompok 70 pasukan terbaik.
- Untuk bermain dan menang secara konsisten sekaligus menyemarakkan rakyat Malaysia.
- Untuk melaksanakan pemilihan yang lebih tegas dan baik serta membuka peluang juga pendedahan buat pemain ke peringkat bola sepak antarabangsa.
- Untuk menjadi pemimpin dalam bidang prestasi tinggi seperti perubatan dan sains sukan, logistic, media dan pengiklanan.
Di bawah sasaran tersebut FAM mahukan agar pasukan bola sepak lelaki:
- layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 (skuad senior)
- layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (B-23)
- layak ke Piala Dunia FIFA B-20, 2023 (B-19)
- layak ke Piala Dunia FIFA U-17 2021 (B-17) dan
- memenangi kejohanan AFF B-15 2021.
Ekoran pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak awak tahun 2020 lalu, sudah tentu banyak perancangan FAM tidak dapat dilaksanakan.
Akan tetapi penulis cuba menilai pencapaian skuad Harimau Malaya yang sedang bertarung di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai sekarang.
Berdasarkan keputusan-keputusan di pusingan pertama, sebahagian pusingan kedua yang berlangsung pada 2019 serta baki dua daripada tiga perlawanan pusingan kedua, apakah peta hala tuju FAM itu mencapai matlamat?
Atau apakah segala-segalanya hanya menuju ke laut setelah melihat prestasi tiga pemain naturalisasi yang dibayar mahal oleh FAM, termasuk memberikan mereka kerakyatan ketika menentang UAE tempoh hari dan Vietnam semalam?

Usah bercerita tentang kelayakan Sukan Olimpik yang sudah kita ucapkan selamat tinggal, Sukan Asia 2023 juga kita semakin menghampiri penghujung jalan andai gagal memperbaiki kelemahan.
Tewas mudah kepada UAE dan gagal menyaingi Vietnam menjadi penanda aras kepada para peminat bola sepak tentang pencapaian skuad Harimau Malaya kita, yang dibentuk untuk mencapai misi F:30 FAM.
Apatah lagi skuad negara dibarisi para pemain import dari negara hebat — Gambia, Kosovo dan Brazil — ditambah dengan para pemain kacukan yang beraksi dengan kelab-kelab di luar negara.
Nyata kata-kata “misi pasukan lawan gentar untuk berdepan Malaysia” di peringkat ASEAN hanya di atas kertas, sedangkan di atas padang kita semakin jauh ditinggalkan Vietnam yang kini menghuni tangga ke-92 dunia ranking FIFA.
Kita? Masih lagi terkapai-kapai untuk melepasi angka 150-an.
Jadi, apakah F:30 yang dilancarkan selepas tiga bulan Hamidin mengemudi FAM itu boleh kita banggakan hari ini atau sudah membayang pelan yang dirancang menuju ke laut dalam?
Penulis serah kepada FAM untuk menjawabnya! – Edisi 9