
PELANCARAN Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) hari ini digambarkan sebagai detik bersejarah oleh Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa pelan ini akan memacu pembangunan Kuala Lumpur yang inklusif, berakar pada nilai kemanusiaan dan berpihak kepada rakyat, bukan hanya pemodal dan elit kota.
Tetapi dalam suasana penuh simbolik itu, satu persoalan terus menghambat, sudah berapa kali kita melihat pelan perancangan bandar yang digarap indah, tetapi akhirnya sekadar rencana tanpa nyawa?
Kuala Lumpur ialah kota yang telah lama dibangunkan berdasarkan logik pasaran dan ketamakan pemaju.
Ledakan kondominium mewah, menara komersial dan pusat beli-belah gergasi bukanlah manifestasi kemajuan jika diukur dari sudut keadilan ruang dan kesejahteraan warga biasa.
“Kota untuk semua” atau retorik semata?
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengimbau memori tinggal di Segambut Dalam — kawasan yang menyaksikan pembangunan tanpa taman, padang, mahupun kemudahan asas.
Beliau menyelar model pembangunan lama yang menurutnya gagal menepati prinsip governance yang baik.
Namun, ironi tidak boleh diketepikan. Mengapa pengakuan sebegitu hanya kedengaran setelah lebih dua dekad menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara?
Dan mengapa pemaju hartanah masih bebas hari ini mencorakkan kota berdasarkan kepentingan keuntungan semata-mata?
AI dan digital: kemajuan untuk siapa?
Pelan ini juga menonjolkan unsur digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian dari masa depan bandar.
Tetapi apakah gunanya AI jika rakyat masih bergelut mencari perumahan mampu milik?
Apakah maknanya “bandar pintar” jika penjaja kecil terus dihimpit dan ruang awam digantikan dengan menara tertutup dan pagar tinggi?
Adakah PTKL2040 akan menyelesaikan isu akar, seperti ketidakadilan pemilikan tanah, gentrifikasi, dan pengusiran penduduk miskin kota atau sekadar menyolek realiti yang sudah lama cacat?
Tatakelola dan keberanian politik
Perdana Menteri menyatakan bahawa kita tidak membina kota ini from scratch seperti Putrajaya, tetapi mesti menyesuaikannya dengan struktur lama.
Namun penyesuaian ini tidak akan berlaku tanpa keberanian politik yang luar biasa untuk berkata “tidak” kepada pemaju berpengaruh, untuk memansuhkan dasar yang meminggirkan golongan B40, dan untuk menilai semula warisan kota yang makin pupus.
PTKL2040 tidak boleh sekadar menjadi dokumen teknokratik yang difahami segelintir, tetapi mesti diterjemah dalam tindakan bermula dengan moratorium terhadap pembangunan mewah, pemulihan kawasan terpinggir, dan pelibatan rakyat secara menyeluruh dalam setiap pelaksanaan.
Akhirnya, adakah kita benar-benar bersedia?
Ucapan Perdana Menteri penuh idealisme, dan idealisme itu penting. Tetapi idealisme yang tidak diterjemah dalam struktur kuasa, institusi yang telus, dan keberanian moral, akan kekal sebagai retorik.
Jika PTKL2040 mahu mengubah wajah Kuala Lumpur, maka soalan yang mesti dijawab bukan hanya “apa yang mahu dibina?”, tetapi juga “siapa yang akan terus dipinggirkan?” dan “siapa yang akan berani menentang arus dominasi modal?”
Kuala Lumpur tidak memerlukan lagi kota yang cantik di atas kertas, tetapi kota yang adil di atas tanah yang dipijak. — Edisi 9

