SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 22 November 2022 lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian itu dimeterai bagi menghormati dan menjunjung titah Yang DiPertuan Agong yang menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat selepas lima hari Parlimen tergantung kerana tiada parti yang cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Beliau berkata, perjanjian antara BN dengan 30 Ahli Parlimen bersama PH dengan 82 Ahli Parlimen, cukup-cukup 112 majoriti mudah untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November selepas diperkenan Seri Paduka Baginda.
Menurut beliau, pada 25 November 2022, parti-parti lain seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan beberapa Ahli Parlimen Bebas bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia menggenapkan 148 majoriti dua pertiga sokongan.
“Perjanjian untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia ini adalah sehingga Pilihanraya Umum atau apabila penggal Kerajaan ini tamat.
“Dengan kata lain ia tidak mengikat mana-mana parti untuk menentukan hala tuju politik masing-masing apabila sampai tarikh pilihan raya,” katanya hari ini.
Asyraf Wajdi menjelaskan, semua portfolio menteri dan pengerusi agenai kerajaan hendaklah berasaskan persetujuan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sebarang perubahan ataupun pengguguran mestilah mendapat persetujuan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan wajib menghormati prinsip-prinsip asas Perlembagaan terutamanya menyentuh kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.
Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia juga, komited dan beriltizam untuk memastikan kestabilan politik dicapai, sama-sama memajukan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa meremehkan atau menafikan peranan mana-mana parti yang bersepakat membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan terus berjalan dan berfungsi selagi mana semua parti menghormati intipati perjanjian yang telah dimeterai.
“Justeru, tidak perlu sebarang bentuk ugutan, tohmahan mahupun kata nista antara sesama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun masing-masing membawa haluan berbeza di peringkat PRN di Sabah, Johor mahupun Negeri Sembilan,” katanya.
Sebelum ini, Angkatan Muda Harapan mendesak semua menteri dan timbalan menteri dari BN meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara terbuka mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ini kerana BN dianggap tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan oleh Anwar kepada mereka dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional. — Edisi 9

