
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Khatib mengingatkan diri sendiri dan ahli jemaah sekalian agar sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan beristiqamah mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.
Semoga dengan ketakwaan, kita beroleh kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat kelak.
Pada hari ini, mimbar mengajak kita menghayati satu tajuk yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat, melalui tajuk “Normalisasi Dosa: Luka yang Tidak Lagi Terasa.”
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Pernahkah kita merenung bertanya, mengapa dosa yang dilakukan pada hari ini semakin hilang rasa di hati pelakunya?
Dahulu manusia melakukan maksiat dalam keadaan malu dan bersembunyi. Apabila melakukan kesalahan, hati resah gelisah. Jiwa masih takut kepada pandangan Allah SWT.
Namun hari ini suasananya semakin berubah. Dosa bukan sahaja dilakukan secara terbuka, bahkan dipertontonkan tanpa rasa segan.
Maksiat dijadikan hiburan, kelalaian dijadikan kandungan tontonan dan keterlanjuran dianggap perkara biasa.
Apa yang dahulunya mengundang rasa malu, kini dianggap kebebasan. Apa yang dahulunya ditegur sebagai dosa, kini dipertahankan atas nama hak peribadi.
Dan apa yang dahulunya membuatkan manusia menangis, kini tidak lagi mengusik jiwa. Inilah luka yang paling membimbangkan.
Bukan luka pada tubuh, tetapi luka pada hati yang perlahan-lahan hilang rasa takut kepada Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah SWT memberi amaran tentang keadaan ini melalui firman-Nya pada Surah al-Mutaffifin ayat ke 14 yang dibacakan khatib di awal tadi yang bermaksud:
“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
Ayat ini menjelaskan bahawa dosa yang dilakukan secara berterusan akan meninggalkan kesan kepada hati manusia.
Pada awalnya hati masih merasa bersalah apabila melakukan maksiat. Nasihat masih mampu menyentuh jiwa. Teguran masih mampu mengalirkan air mata.
Namun apabila dosa terus dilakukan tanpa taubat dan tanpa penyesalan, hati mula menjadi keras sedikit demi sedikit.
Hal ini selari dengan penjelasan Baginda SAW daripada Abu Hurairah radiallahuanhu diriwayatkan Imam al-Tirmizi:

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-Ran (ُ الر َّ ان) yang Allah nyatakan”
Para ulama tafsir seperti Ibnu Katsir menjelaskan bahawa perkataan “
”ر َ ان ُ dalam ayat ini menggambarkan dosa yang menutupi hati seperti karat yang menyaluti besi.
Semakin lama dibiarkan, semakin tebal ia menutup sehingga hati kehilangan kepekaan terhadap kebenaran.
Kerana itu hati tidak mati sekaligus. Tetapi perlahan-lahan menjadi gelap kerana dosa yang dibiasakan. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat tadi.
Maka sebab itu dosa yang paling membimbangkan bukan hanya dosa yang dilakukan, tetapi dosa yang dilakukan sehingga hati keras dan tidak lagi merasa takut kepada Allah SWT.
Muslimin Rahimakumullah,
Inilah cabaran besar masyarakat hari ini. Kita hidup dalam dunia yang penuh paparan dan pengaruh.
Media sosial membuka ruang yang sangat luas sehingga manusia melihat kemungkaran setiap hari tanpa sempadan.
Aurat dipertontonkan tanpa rasa malu. Fitnah dan cacian menjadi hiburan. Pergaulan melampaui batas dianggap kebiasaan.
Lebih membimbangkan apabila dosa dijadikan tontonan untuk meraih perhatian manusia. Ada yang sanggup mempertontonkan maksiat demi populariti dan perhatian.
Ukuran yang dicari bukan lagi reda Allah SWT, tetapi jumlah tontonan dan sokongan manusia.
Muslimin Yang Dimuliakan Allah,
Lebih menyedihkan apabila manusia mula mencari alasan untuk membenarkan dosa.
Ada yang berkata: “Orang lain pun buat, kenapa aku tak boleh? Seolah-olah sesuatu kesalahan menjadi benar hanya kerana ramai melakukannya.
Kebenaran tidak diukur pada ramainya manusia yang melakukannya, tetapi sejauh mana ia menepati petunjuk Allah SWT.
Namun sebesar mana pun dosa manusia, pintu taubat Allah SWT tetap terbuka.
Taubat bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi keberanian untuk kembali kepada Allah SWT sebelum hati menjadi terlalu keras.
Kembali menjaga solat. Kembali menjaga pandangan. Kembali menjaga batas dalam kehidupan. Kerana hati yang dekat dengan Allah tidak akan tenang hidup dalam dosa.
Sidang Jemaah yang dimuliakan,
Sebagai iktibar daripada khutbah hari ini, khatib simpulkan:
Pertama: Dosa yang dilakukan berulang kali akan menggelapkan hati dan menghilangkan sensitiviti terhadap maksiat.
Kedua: Normalisasi dosa berlaku apabila manusia terlalu biasa melihat dan melakukan kemungkaran sehingga hilang rasa takut kepada Allah SWT.
Ketiga: Sentiasalah taubat, perbanyakkan zikrullah dan penghayatan al-Quran ialah jalan menyelamatkan hati daripada menjadi keras dan jauh daripada Allah SWT.
Mungkin hari ini kita masih mampu menangis apabila mengingati dosa-dosa kita. Maka bersyukurlah, kerana itu tanda hati masih belum mati.
Tetapi takutlah apabila dosa tidak lagi mengusik jiwa. Takutlah apabila maksiat tidak lagi membuatkan kita malu kepada Allah.
Dan takutlah apabila hati sudah terlalu biasa dengan kelalaian sehingga tidak lagi terasa ingin kembali.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 17 Julai 2026 bersamaan 2 Safar 1448.

