
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Zulqa’dah: Bulan Ketengangan, Memadam Api Permusuhan.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Kita masih lagi berada di dalam bulan Zulqa’dah, salah satu daripada bulan-bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT mengatasi bulan-bulan yang lain.
Dinamakan al-Qa‘dah (القعدة) yang bermaksud “duduk” atau “berhenti”; kerana bangsa Arab Jahiliyyah pada suatu ketika dahulu akan berhenti berperang untuk menghormati bulan ini.
Ia bukan sekadar kemuliaan pada namanya, bahkan ia menjadi peringatan buat kita semua agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan serta memperbanyakkan amalan soleh.
Imam al-Qurtubi semasa menafsirkan Surah al-Taubah ayat 36 yang dibacakan pada awal khutbah tadi menjelaskan bahawa apabila Allah SWT mengagungkan sesuatu, bererti ia memiliki kehormatan.
Maka, pada bulan ini setiap kebaikan akan digandakan ganjarannya, begitu juga sebaliknya setiap kejahatan digandakan balasannya.
Hadirin Jumaat yang berbahagia,
Dalam suasana dunia yang serba canggih ini, peperangan tidak lagi sekadar melibatkan pedang dan peluru.
Hari ini, peperangan yang paling dahsyat berlaku di hujung jari kita di medan media sosial.
Terma kebebasan bersuara telah disalah erti tanpa batasan. Kata-kata menjadi semakin kasar, tuduhan menjadi semakin mudah, dan fitnah tersebar tanpa sempadan.
Maka Zulqa’dah membawa mesej besar kepada kehidupan kita iaitu seruan untuk berhenti sejenak dari segala bentuk pertelingkahan dan memperbaiki hubungan sesama manusia, selaras dengan semangat bulan haram yang menuntut kedamaian dan ketenangan.
Tidakkah kita mempelajari daripada peristiwa perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada bulan Zulqa’dah tahun keenam Hijrah?
Ketika mana sebuah perjanjian damai menjadi mukadimah bagi pembukaan kota suci Makkah.
Tindakan yang berlandaskan kelembutan, kebijaksanaan dan perancanganyang teliti adalah lebih berkesan serta mendatangkan kebaikan yang berpanjangan.
Inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui Perjanjian Hudaibiyah, apabila Baginda SAW memilih pendekatan yang tenang dan penuh hikmah.
Meskipun pada zahirnya ia kelihatan berat sebelah, namun akhirnya pendekatan tersebut membawa kepada kemenangan yang besar bagi umat Islam.
Sidang jemaah yang dimuliakan.
Kita juga tidak mahu membiarkan tarbiah Ramadhan yang sarat dengan amal ibadah dan hubungan erat di bulan Syawal menjadi sia-sia sahaja.
Rasulullah SAW pernah mengajarkan Saidina Muaz bin Jabal Radiallahuanhu beberapa amalan yang boleh membuka jalan baginya ke syurga dan menjauhi neraka.
Namun pada akhirnya, kunci untuk memastikan setiap amal itu diterima adalah lidah.
Hadis yang diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Mahukah aku memberitahu kepadamu kemuncak kepada semua amalan yang telah disebutkan?” Muaz menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!” Baginda SAW memegang lidah Baginda sendiri seraya bersabda: “Jagalah ini!” Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan dibalas dengan apa yang kita tuturkan?” Baginda menjawab: “Sedarlah wahai Muaz! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas wajah mereka melainkan hasil dari lidah mereka.” (Riwayat al-Tirmizi).
Kita sewajarnya lebih berhati-hati dan beradab dalam pertuturan walaupun saling berbeza pendapat, kerana itulah tanda kemuliaan akhlak seorang Muslim.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang Islam yang sebenar ialah apabila orang-orang Islam lain terselamat daripada (gangguan) lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menuntut supaya kita meninggalkan segala perbuatan yang boleh menyakiti umat Islam sama ada dengan lidah, tangan, dan seumpamanya.
Sidang Jumaat yang diraikan,
Marilah kita mengambil keberkatan Zulqa’dah ini untuk bermuhasabah tentang kualiti masa dan amal kita.
Berusahalah kita mengecapi ketenangan dengan meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada kita, baik untuk urusan dunia mahupun akhirat.
Berhentilah daripada mencampuri urusan yang bukan hak kita, mengulas perkara yang tidak kita ketahui hakikatnya, dan menjauhkan diri daripada perdebatan kosong yang hanya mengeraskan hati.
Perkara tersebut selari dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasululah SAW bersabda:

“Antara keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tiada kena mengena dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Tambahan lagi, Zulqa’dah ini berperanan sebagai momentum untuk terus kuat beribadah terutamanya bagi mereka yang menghitung hari untuk bergelar Dhuyufurrahman (tetamu Allah SWT).
Bulan ini merupakan medan persediaan yang amat kritikal sebagai bekalan agar hati dapat dibersihkan dari sebarang sifat yang negatif.
Ingatlah bahawa sebaik-baik bekalan yang dibawa adalah ketakwaan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 197:

“Dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, wahai orang yang berakal (yang dapat berfikir dan memahami).”
Saudaraku sidang Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita:
1. Umat Islam hendaklah mengambil peluang pada bulan ini untuk memadam api persengketaan yang membakar ukhuwah antara kita.
Jika dahulu orang Arab berhenti menghunus pedang di bulan Zulqa’dah, maka kita hari ini perlu berhenti “menghunus kata-kata” yang melukakan.
2. Umat Islam hendaklah memelihara lisan kerana ia penentu sama ada amal kita terpelihara atau menjadi sia-sia.
Segala usaha ibadah kita selama ini boleh runtuh hanya kerana kegagalan mengawal pertuturan.
3. Ketenangan jiwa dan kekuatan ibadah hanya dapat dicapai apabila seseorang meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat dan menumpukan diri kepada pembinaan takwa sebagai bekalan menuju reda Allah SWT.

“Sesiapa yang melakukan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan kurniakan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa-apa yang telah dilakukan mereka.” (Surah al-Nahl: 97).

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, bertarikh 8 Mei 2026 bersamaan 20 Zulqa’dah 1447.

