PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif.
Pengasas Bersama Futurefirst Solutions Sdn. Bhd., Shankar Nagalingam berkata, cabaran terbesar organisasi hari ini bukan lagi kekurangan kesedaran mengenai AI, sebaliknya tahap kesiapsiagaan pemimpin untuk memahami dan mengintegrasikan teknologi tersebut dalam proses membuat keputusan.
Menurut beliau, pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap perkembangan AI hanya akan menyebabkan organisasi kehilangan daya saing pada masa hadapan.
“Pemimpin perlu mengambil langkah pertama dengan mendekati AI. Mereka perlu memahami potensinya, mentafsir dan menggunakannya untuk manfaat organisasi kerana kesedaran semata-mata tidak lagi mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Summit of Titans II bertemakan Decode AI. Reclaim the Future yang menghimpunkan lebih 300 eksekutif peringkat C-suite di sini semalam.
Pada persidangan tersebut, Futurefirst Solutions turut melancarkan Tarantula Trail, sebuah program pembangunan kepimpinan baharu yang dibangunkan berasaskan rangka kerja NETRA yang memberi penekanan kepada lima ciri kepimpinan masa depan iaitu Neuroplasticity, Neuroempathy, Technosapient, Regenerative dan Agentic.
Shankar berkata, Tarantula Trail merupakan program pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan penilaian berasaskan teknologi seperti gelombang otak EEG, pengecaman wajah AI dan modulasi suara dengan pengalaman sinematik untuk membantu peserta mengenal pasti kekuatan serta jurang kepimpinan mereka.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan organisasi menilai potensi individu secara lebih mendalam berbanding kaedah konvensional yang banyak bergantung kepada soal selidik.
“Kami menggunakan teknologi yang belum pernah digunakan dalam persekitaran pembangunan kepimpinan bagi mentafsir keupayaan masa depan seseorang individu.
“Teknologi ini berpotensi digunakan dalam proses pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan perancangan penggantian organisasi bagi mengenal pasti bakat yang mempunyai ciri-ciri diperlukan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Futurefirst Solutions, Dr. Chanthiran Veerasamy berkata, elemen sinematik yang diterapkan dalam program berkenaan mampu mewujudkan tahap kesedaran kendiri yang lebih tinggi dalam kalangan peserta.
“Pengalaman sinematik memberikan pembelajaran yang lebih mendalam dan imersif, manakala pengesahannya dilakukan menerusi aplikasi AI serta teknologi EEG,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan penuh program termasuk penerbitan sinematik dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.

