Sunday, June 28, 2026

UMNO ‘kembali’ ke tangga Istana Besar Johor selepas 80 tahun

Sebagai mengenang jasa generasi terdahulu, menginsafi harga sebuah perjuangan dan memperbaharui tekad...

Mesti Baca

SELEPAS 80 tahun akhirnya UMNO ‘kembali’ ke tangga Istana Besar Johor hari ini, tempat di mana sejarah penubuhan parti itu terpahat pada 11 Mei 1946.

Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kembalinya UMNO di tangga istana tersebut bukan sekadar untuk bernostalgia atau merakam gambar kenangan.

Sebaliknya, jelas beliau, ia sebagai mengenang jasa generasi terdahulu, menginsafi harga sebuah perjuangan dan memperbaharui tekad bahawa amanah ini mesti terus dipikul dengan setia, berani dan penuh tanggungjawab.

“Hari ini, saya bersama saf kepimpinan UMNO berpeluang untuk kembali berdiri di tempat yang sama, selepas 80 tahun UMNO melalui pelbagai mehnah dan liku-liku perjuangan.

“Sesungguhnya, di sinilah para pemimpin Melayu berhimpun, menyatukan tekad dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan raja-raja Melayu.

“Daripada semangat perjuangan itulah lahirnya UMNO, sebuah wadah yang akhirnya menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara dan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat,” katanya hari ini.

Sekumpulan orang Melayu yang mengasaskan UMNO pada tahun 1946 di hadapan Istana Besar Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sejarah sentiasa mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah bangsa lahir daripada kesatuan hati rakyat, kesetiaan kepada institusi raja-raja Melayu, serta keikhlasan untuk berkhidmat demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Semoga UMNO terus kekal sebagai wadah perjuangan yang menyatukan, mempertahankan maruah bangsa, menjunjung agama, memelihara kedaulatan raja-raja Melayu dan berkhidmat kepada tanah air tercinta,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencemar duli menghadiri sesi fotografi tersebut bersama para pemimpin UMNO.

Sesi fotografi itu diadakan bagi mengenang sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.

Penubuhan parti itu menjadi salah sebuah lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union dan kemudian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.  — Edisi 9

Terkini

Lelaki Pakistan ‘kantoi’ menyamar sebagai doktor perubatan

SEORANG lelaki warga Pakistan yang menyamar sebagai doktor perubatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah klinik swasta di Subang...

Lagi Artikel Berkaitan