“SAYA menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor.
“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.”
Demikian ditegaskan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung dakwaan yang dibuat Mohd Puad, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu hari ini sehingga mendorongnya bertindak meninggalkan UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Onn Hafiz menjelaskan, sebagai Menteri Besar, beliau tidak boleh membubarkan DUN sesuka hati sebaliknya perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” jelas beliau.
Justeru, Onn Hafiz menyifatkan dakwaan Mohd Puad yang juga bekas ADUN Rengit itu amat tidak bertanggungjawab dan cuba memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
Katanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu, Mohd Puad berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti.
Namun, tegas beliau, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya. — Edisi 9

