Saturday, July 11, 2026

Hektar REIT-UiTM jalin kerjasama bidang akademia, industri

Membuka lebih banyak peluang latihan industri, penyelidikan bersama dan pembangunan bakat dalam bidang pengurusan hartanah, operasi aset runcit serta hospitaliti.

Mesti Baca

HEKTAR REIT menerusi anak syarikatnya,  Hektar Property Services Sdn. Bhd. (HPS) memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan industri hartanah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi merapatkan hubungan antara akademia dan industri.

Kerjasama strategik itu dijangka membuka lebih banyak peluang latihan industri, penyelidikan bersama dan pembangunan bakat dalam bidang pengurusan hartanah, operasi aset runcit serta hospitaliti.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah penting dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan terhadap realiti sebenar operasi industri.

“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara pembelajaran akademik dan amalan industri.

“Sebagai pengurus hartanah bagi portfolio yang pelbagai, kami melihat peluang bermakna untuk memberi pelajar pendedahan kepada realiti operasi merentasi aset runcit dan hospitaliti, sambil menyokong usaha UiTM memperkukuh hasil pembelajaran praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis itu Pengarah UiTM Cawangan Johor, Profesor Madya Dr. Saunah Zainon Ibrahim menandatangani bagi pihak UiTM, manakala HPS diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Khairul Ariffin.

Menurut Zainal, kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri kini menjadi semakin penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berdaya saing serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang sentiasa berubah.

“Melalui perkongsian ini, kami berhasrat mewujudkan peluang pembelajaran praktikal, menggalakkan pertukaran pengetahuan dan menyumbang kepada pembangunan profesional masa depan dalam pengurusan hartanah serta disiplin berkaitan,” katanya.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai bentuk kerjasama termasuk pertukaran institusi, penempatan pelajar sarjana muda dan pascasiswazah bagi latihan industri serta penyelidikan, selain penganjuran simposium, persidangan dan kursus pendek.

HPS kini menguruskan enam pusat beli-belah dan sebuah hotel di bawah portfolio Hektar REIT melibatkan aset di Kedah, Johor, Melaka dan Selangor termasuk Central Square, Kulim Central, Classic Hotel, Segamat Central, Wetex Parade, Mahkota Parade dan Subang Parade.

Terkini

SRTAQ Integrasi Al-Irshad terima bantuan RM100,000

SEKOLAH Rendah Tahfiz Al-Quran (SRTAQ) Integrasi Al-Irshad, Seremban, Negeri Sembilan hari ini menerima bantuan kewangan sebanyak RM100,000 menerusi Inisiatif...

Lagi Artikel Berkaitan