PENGGIAT seni visual, pencinta seni dan orang ramai bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik apabila Balai Seni Negara menganjurkan Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 27 hingga 29 November depan.
Menurut Balai Seni Negara, penganjuran bertemakan ‘ART KL’ itu merupakan platform yang menghimpunkan keseluruhan rantaian ekosistem seni visual negara, sekali gus memperkukuh pembangunan industri kreatif melalui jaringan kerjasama, pendidikan dan peluang ekonomi.
“MAEF 2026 mencerminkan komitmen Balai Seni Negara dalam memperkasa pembangunan industri seni visual melalui penyatuan pelbagai pemain industri, pengukuhan jaringan kerjasama strategik serta pemerkasaan ekonomi kreatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Balai Seni Negara berkata, penganjuran itu merupakan kesinambungan kepada MAEF 2021 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan industri seni visual selepas pandemik Covid-19.
Kali ini, fokus diberikan kepada usaha meningkatkan daya saing industri, mengembangkan pasaran seni yang lebih mampan serta memperluaskan kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Lebih menarik, MAEF 2026 berlangsung seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan seni visual tempatan sebagai antara produk pelancongan budaya yang mampu menarik perhatian pelawat dari dalam dan luar negara.
Pameran itu bakal menghimpunkan pelbagai pihak dalam industri termasuk galeri seni komersial, artis, studio, kolektif seni, muzium, galeri awam, institusi pengajian tinggi, sekolah seni, akademi, persatuan seni visual serta usahawan kreatif yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan seni.
Selain ruang pameran, pengunjung juga berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel seni, demonstrasi, sesi perkongsian ilmu dan program pendidikan yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Balai Seni Negara, pendekatan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni visual, malah membuka lebih banyak peluang kepada artis dan pengusaha industri untuk memperluaskan rangkaian kerjasama serta memasarkan hasil kreatif mereka.
Turut menjadi tarikan ialah penyertaan galeri seni kontemporari yang menampilkan karya-karya melalui proses kuratorial, sekali gus memberi peluang kepada artis tempatan memperkenalkan karya mereka kepada pengumpul seni dan pasaran serantau.
Dalam masa sama, program Ruang Wacana akan berlangsung sepanjang tiga hari penganjuran dengan membincangkan aspek History, Theory, Criticism dan Studio (H.T.C.S.) dalam seni visual.
Perbincangan itu bakal melibatkan akademik, kurator, pengkaji, sejarawan, penulis dan artis dari dalam serta luar negara sebagai platform bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan memperkaya wacana seni visual.
Balai Seni Negara percaya MAEF 2026 mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri seni visual negara melalui pengukuhan ekosistem yang lebih mampan, peningkatan aktiviti ekonomi kreatif serta peluasan peluang pasaran kepada penggiat seni.
Pada masa sama, penganjuran itu diharap dapat terus mengangkat seni visual sebagai antara sektor strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan budaya dan kesejahteraan masyarakat. — Edisi 9

