Sunday, June 21, 2026

Aidilfitri: Hektar REIT santuni penghuni Rumah Titian Kaseh

Hektar REIT turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi membantu memenuhi keperluan harian penghuni termasuk pembelian peralatan tempat tidur baharu.

Mesti Baca

HEKTAR Asset Management Sdn Bhd,  pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menganjurkan program komuniti sempena Hari Raya Aidilfitri di Rumah Titian Kaseh, baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan kakitangan Hektar REIT bersama kanak-kanak, penjaga serta penghuni rumah kebajikan itu dalam suasana penuh kemesraan, kasih sayang dan semangat berkongsi.

Kemeriahan jelas dirasai apabila pelbagai aktiviti diadakan termasuk agihan duit raya, persembahan badut interaktif, sajian makanan ringan seperti popcorn dan aiskrim, serta sesi nyanyian bersama.

Gelak tawa kanak-kanak bergema, mencerminkan kegembiraan tulen yang terhasil daripada interaksi mesra antara para peserta.

Tidak sekadar meraikan, Hektar REIT turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi membantu memenuhi keperluan harian penghuni termasuk pembelian peralatan tempat tidur baharu, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan dan kesejahteraan mereka.

Zainal Iskandar menyampaikan sumbangan kepada Rumah Titian Kaseh.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Zainal Iskandar berkata, Aidilfitri merupakan waktu terbaik untuk menyemai nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menceriakan kanak-kanak serta memberi keyakinan bahawa mereka sentiasa dihargai dan disayangi. Kami juga amat menghargai dedikasi para penjaga dan ibu tunggal yang memainkan peranan penting dalam membesarkan mereka,” katanya.

Kanak-kanak penghuni Rumah Titian Kasih diraikan sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan warga Rumah Titian Kaseh atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan komuniti setempat.

Program berkenaan diakhiri dengan jamuan bersama yang mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan Hektar REIT dan para penghuni, sekali gus meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan.

Hektar REIT menegaskan akan terus melaksanakan inisiatif CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat, selari dengan usaha memperkukuh nilai kemampanan dalam operasi syarikat. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan