Wednesday, July 8, 2026

Makna Hari Raya bagi golongan OKU pembelajaran

Walaupun OKU terbabit mempunyai cabaran dalam aspek pembelajaran namun mereka mempunyai pengetahuan asas tentang Hari Raya. 

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

HARI Raya Aidilfitri adalah saat yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa. Ia sinonim dengan kunjungan keluarga, juadah istimewa dan suasana kegembiraan. 

Namun bagi anak-anak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, makna Hari Raya sering difahami melalui pengalaman yang lebih sederhana tetapi sangat bermakna.

Itulah yang dikongsikan kira-kira 20 OKU pembelajaran ketika sesi kumpulan fokus anjuran Akademi Permata Impian (APIM) di Semenyih,  Selangor, baru-baru.

Melalui perbincangan yang turut dihadiri oleh ahli keluarga masing-masing, mereka berkongsi pengalaman dan pemahaman tentang Hari Raya Aidilfitri berdasarkan apa yang mereka alami bersama keluarga.

Peserta sesi kumpulan fokus yang hadir bersama ahli keluarga mereka.

Pensyarah  Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Maisarah Hasbullah berkata, walaupun OKU terbabit mempunyai cabaran dalam aspek pembelajaran namun mereka mempunyai pengetahuan asas tentang Hari Raya. 

Beliau berkata, peserta terbabit memahami tentang perayaan tersebut dari sudut agama dan kemeriahan menyambut hari bahagia itu.

“Walaupun penerangan agama mungkin tidak difahami secara mendalam, pengalaman menyertai aktiviti seperti solat Hari Raya atau persiapan menyambut tetamu membantu mereka membina kefahaman tentang kepentingan hari yang istimewa ini,” katanya hari ini.

Maisarah berkata, selain aspek ibadah, perkara yang paling kerap disebut oleh para peserta ialah juadah Hari Raya antaranya rendang, lemang dan kuih-muih.

 “Suasana makan bersama keluarga juga menjadi detik penting yang mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, sekali gus menjadikan pengalaman perayaan lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata, duit raya juga merupakan antara perkara yang paling menggembirakan bagi OKU pembelajaran semasa perayaan tersebut.

“Bagi mereka, duit raya bukan sekadar wang, tetapi simbol perhatian, kasih sayang dan penghargaan daripada orang dewasa. 

“Detik menerima sampul duit raya sering disertai dengan senyuman, keterujaan dan rasa dihargai,” kata beliau yang mengetuai program tersebut.

Maisarah berkata, masa yang diluangkan bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara menjadi pengalaman yang sangat bermakna bagi mereka. 

Katanya, gambar keluarga yang diambil pada pagi Hari Raya bukan sekadar dokumentasi kenangan, tetapi juga simbol dan pancaran makna kebahagiaan dan keakraban yang dirasai oleh mereka.

“Dapatan ini memberi peringatan kepada masyarakat bahawa sambutan perayaan seharusnya bersifat inklusif dan memberi ruang kepada semua golongan untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri, termasuk individu OKU.

“Sokongan keluarga, guru dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak ini dapat menyertai aktiviti perayaan dengan selesa dan bermakna,” katanya. — Edisi 9

Terkini

BN tidak pernah abai keharmonian antara kaum – Zahid

BARISAN Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan  perpaduan dan keharmonian kaum sejak dahulu sehingga ke hari ini, kata Pengerusinya, Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan