27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ucapan hari raya Najib dapat hampir 90,000 tanda suka

Mesti Baca

WALAUPUN masih berada di Penjara Kajang, ucapan Hari Raya Aidilfitri oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebooknya mendapat perhatian umum dan menerima hampir 90,000 tanda suka sejak semalam.

Dipercayai dikemas kini pentadbirnya, ucapan bekas Perdana Menteri itu turut mendapat lebih 7,500 komen dan ribuan perkongsian.

“Salam Aidilfitri. Selamat hari raya semua. Maaf zahir dan batin,” kata hantaran Facebook Najib dengan disertakan gambar beliau duduk di tangga sebuah rumah yang dirakam di Kampung Pulau Keladi, Pahang pada 2019 lalu.

Tanda suka yang diterima Najib itu jauh mengatasi ucapan bekas-bekas Perdana Menteri lain termasuk Perutusan Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat kurang daripada 3,000 sahaja dalam tempoh 24 jam selepas dihantar.

Manakala ucapan Aidilfitri Tun Dr Mahathir Mohamad pula mendapat lebih 2,000 tanda suka, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kurang dari 1,000) sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menerima lebih 200 tanda suka.

Advertisements
Ucapan selamat hari raya oleh Perdana Menteri dan bekas-bekas Perdana Menteri menerusi Facebook masing-masing semalam.

Meninjau komen-komen menerusi Facebook Najib tersebut, rata-rata turut mengutuskan ucapan Aidilfitri kepada bekas pemimpin yang mesra digelar “Bossku” itu.

Tidak kurang juga yang mendoakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan selain berharap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan secepat mungkin.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengenepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, dalam kenyataannya pada 1 Februari lalu mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun, serta denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan