Thursday, July 16, 2026

Tiba masa Akta Perlindungan Guru digubal – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menggesa kerajaan agar menggubal Akta Perlindungan Guru bagi melindungi warga pendidik dalam mengawal disiplin dan keselamatan pelajar.

Beliau berkata, ini terutama bagi kalangan guru yang bertindak dengan suci hati, secara munasabah dan mengikut prosedur dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Menurut beliau, Akta Perlindungan Guru sering dibangkitkan kerana ramai berpendapat guru semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman, dan tekanan ketika melaksanakan tugas mereka,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, antara rasional utama akta tersebut ialah bagi melindungi guru-guru yang bertindak mengikut prosedur. 

Beliau berkata, guru sering membuat keputusan serta-merta untuk mengawal disiplin, keselamatan atau kecemasan. 

“Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana tidak puas hati,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Beliau berkata, Akta Perlindungan Guru juga perlu bagi mengurangkan budaya litigasi susulan terdapat peningkatan kecenderungan membawa pertikaian sekolah ke mahkamah.

Katanya, akta tersebut boleh mewujudkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan atau mediasi sebelum tindakan mahkamah diambil.

Selain itu, beliau berkata, akta itu juga dapat memberi sokongan undang-undang kepada guru apabila ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri. 

“Akta boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Akta Perlindungan Guru juga dapat meningkatkan keyakinan guru dalam menjalankan tugas mereka.

Katanya, jika guru sentiasa bimbang akan disaman, mereka mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya. 

“Ini boleh menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid,” kata beliau.

Tambah beliau, akta itu juga dapat menarik dan mengekalkan profesion perguruan. 

Katanya, perlindungan undang-undang yang munasabah menjadikan profesion guru lebih dihormati dan diyakini, sekali gus membantu mengekalkan bakat dalam bidang pendidikan.

Media melaporkan seoranh bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor berjaya memperoleh ganti rugi lebih RM452,000 selepas Mahkamah Tinggi Muar memutuskan pihak sekolah cuai kerana gagal menyediakan penyeliaan munasabah sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan kekal pada mata dan otak ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Pelajar terbabit, Muhammad Syakir Irfan Syed Ali, 21, memfailkan saman itu terhadap sekolah berkenaan susulan kejadian yang berlaku ketika dia merupakan pelajar Tingkatan Dua di SMK Chaah pada 17 September 2019.

Saman tersebut difailkan melalui bapanya, Syed Ali Syed Hussein yang bertindak sebagai wakil litigasi kerana mangsa masih bawah umur ketika insiden berlaku.

Dalam kejadian itu, Muhammad Syakir mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan tembus pada mata kiri, keretakan pada tengkorak dan pendarahan akut dalam otak sehingga mengakibatkan kecacatan klinikal kekal yang menjejaskan penglihatan serta fungsi neurologinya.

Defendan yang dinamakan dalam saman berkenaan ialah guru aktiviti sekolah, Nur Badruzzanan Mohamad; pengetua sekolah, Maziah Mohammad; Ketua Pengarah Pendidikan serta Kerajaan Malaysia. — Edisi 9

Terkini

PRN Negeri Sembilan: BN hanya bertanding 25 kerusi?

BARISAN Nasional (BN) malam ini hanya mengumumkan 25 calon daripada 36 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan...

Lagi Artikel Berkaitan