NAJIS berwarna hitam tidak semestinya menandakan masalah kesihatan namun dalam sesetengah keadaan, ia boleh menjadi petanda awal pendarahan dalaman yang serius pada saluran pencernaan (GI) atas.
Jika tidak dirawat segera, pendarahan serius itu boleh menyebabkan tekanan darah menurun secara mendadak, mengakibatkan renjatan dan boleh membawa maut.
Itu amaran Pakar Bedah Am di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Quek Yeow Ling, yang menyifatkan pendarahan GI atas yang melibatkan esofagus, perut atau duodenum, satu kecemasan perubatan.
Beliau berkata, perbezaan antara najis hitam yang berpunca daripada makanan dengan pendarahan dalaman boleh dikenal pasti melalui warna, tekstur, bau serta gejala lain yang dialami pesakit.
Menurutnya, pengambilan makanan seperti rumpai laut, bijan hitam dan beri biru, serta suplemen zat besi, boleh menyebabkan najis kelihatan lebih gelap.
“Namun, jika najis berwarna hitam pekat seperti tar, melekit dan berbau busuk, ia berkemungkinan petanda pendarahan dalaman.

“Gejala lain seperti muntah darah sama ada berwarna merah terang atau
menyerupai serbuk kopi, pening, pengsan, degupan jantung yang laju, sesak nafas, kulit sejuk dan berpeluh serta sakit pada bahagian atas abdomen,” katanya hari ini.
Dr Quek berkata, punca paling lazim pendarahan GI atas ialah ulser perut dan ulser duodenum.
“Punca lain termasuk gastritis, koyakan Mallory-Weiss akibat muntah yang teruk, variks esofagus yang berkaitan dengan penyakit hati, penggunaan ubat penahan sakit untuk tempoh yang panjang serta jangkitan Helicobacter pylori (H. pylori).
“Kanser esofagus atau kanser perut, walaupun jarang berlaku, juga boleh menjadi puncanya,” katanya.
Beliau berkata, golongan yang mengambil ubat penahan sakit, aspirin atau ubat pencair darah dalam tempoh yang panjang adalah antara mereka yang berisiko tinggi.
Begitu juga dengan mereka yang mengambil alkohol secara berlebihan, merokok, warga emas, mereka yang mengambil pelbagai jenis ubat, serta mereka yang mempunyai sejarah ulser, penyakit hati atau jangkitan H. pylori yang tidak dirawat.
“Jika anda tidak pasti puncanya, jangan tunggu di rumah atau cuba merawat sendiri. Segera ke jabatan kecemasan hospital yang terdekat,” tegas beliau.
Dr Quek berkata, kaedah utama untuk mengenal pasti punca pendarahan ialah melalui prosedur endoskopi saluran pencernaan atas (OGDS).
Tiub fleksibel yang dilengkapi kamera dimasukkan melalui mulut bagi mengesan lokasi pendarahan.
Dalam kebanyakan kes, jelas beliau, pendarahan boleh dihentikan semasa prosedur yang sama menggunakan klip khas, suntikan atau rawatan haba.
“Rawatan turut merangkumi pemberian cecair melalui saluran intravena (IV), pemindahan darah, ubat untuk mengurangkan penghasilan asid perut seperti proton pump inhibitor (PPI), ubat bagi mengurangkan tekanan pada salur darah pesakit penyakit hati, serta prosedur radiologi untuk menutup saluran darah yang mengalami pendarahan.
“Dengan kemajuan teknologi endoskopi dan radiologi, kebanyakan pesakit kini boleh dirawat tanpa perlu pembedahan.
“Pembedahan hanya dipertimbangkan sekiranya kaedah rawatan lain tidak berjaya menghentikan pendarahan, berlaku pendarahan berulang yang teruk atau pesakit
mengalami komplikasi seperti ulser berlubang atau ketumbuhan tertentu,” katanya.
Beliau turut merujuk satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cureus pada 2025 terhadap 293 pesakit dewasa yang menerima rawatan akibat pendarahan GI atas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur.
Kajian itu mendapati 18.4 peratus pesakit memerlukan rawatan rapi, 7.8 peratus mengalami pendarahan berulang, manakala 4.8 peratus meninggal dunia ketika menerima rawatan. Kebanyakan pesakit yang terlibat berusia 70 tahun ke atas.
Bagi mengurangkan risiko pendarahan GI atas, Dr Quek menasihatkan orang ramai supaya hanya mengambil ubat penahan sakit apabila perlu serta mendapatkan ubat pelindung perut sekiranya perlu mengambil aspirin atau ubat pencair darah untuk tempoh yang panjang.
Beliau turut menggalakkan individu yang mempunyai sejarah ulser atau sering mengalami ketidakhadaman supaya menjalani pemeriksaan bagi mengesan jangkitan H. pylori.
“Mengurangkan pengambilan alkohol, berhenti merokok serta mengawal penyakit kronik juga dapat membantu mengurangkan risiko.
“Pengesanan awal dan rawatan segera bagi pendarahan GI atas mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

