
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Pada hari yang mulia ini, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Menepati Janji, Membina Kepercayaan.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Antara nikmat yang paling bernilai dalam kehidupan bermasyarakat ialah mendapat kepercayaan orang lain.
Namun, kepercayaan tidak lahir hanya dengan kata-kata, sebaliknya dibina melalui amanah yang dipelihara dan janji yang ditepati.
Oleh sebab itu, Islam meletakkan sifat amanah dan menunaikan janji sebagai akhlak yang sangat mulia serta menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Saf ayat 2 hingga 3, yang dibacakan pada permulaan khutbah, mengandungi teguran yang sangat tegas terhadap mereka yang mengatakan sesuatu perkara namun tidak melaksanakannya.
Seorang Mukmin yang sebenar sentiasa berusaha mengotakan apa yang diperkatakannya dan membuktikan kata-katanya melalui tindakan, kerana itulah antara tanda kejujuran iman dan kemuliaan akhlak.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:
“Dan orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji dan orang yang bersabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. (Orang yang demikian sifatnya) mereka itulah orang yang benar (imannya dan melakukan kebaikan) dan mereka itulah orang yang bertakwa.”
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Menunaikan amanah dan memelihara janji merupakan sifat utama orang beriman sekaligus menjadi sebab mendapat kepercayaan daripada orang lain.
Allah SWT menyifatkan mereka sebagai golongan yang sentiasa menjaga amanah serta menunaikan setiap perjanjian yang dibuat.
Hal ini ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun ayat 8:

“Dan orang yang menunaikan amanah dan janji mereka.”
Imam al-Tabari dalam tafsirannya terhadap ayat ini menyatakan bahawa mereka memelihara segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka serta menunaikan setiap perjanjian yang telah dimeterai dengan manusia.
Mereka tidak mensia-siakan amanah tersebut, bahkan melaksanakan semuanya dengan penuh tanggungjawab dan sebaik-baiknya.
Begitu juga firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 34:

“Dan penuhilah janji (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya.”
Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa perjanjian merupakan suatu kemuliaan dan suatu ikatan.
Oleh itu, menunaikan janji merupakan tuntutan syarak yang wajib dipelihara oleh setiap Muslim.
Manakala sikap mengabaikan atau memungkirinya termasuk dalam perbuatan maksiat yang mendatangkan dosa.
Lihatlah bagaimana banyak kerosakan dalam masyarakat berpunca daripada janji yang tidak ditepati.
Anak-anak boleh hilang kepercayaan terhadap ibu bapa, hubungan suami isteri dan sesama manusia boleh menjadi retak, malah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, rakyat akan hilang keyakinan terhadap pemimpin yang banyak berjanji tetapi hanya untuk meraih sokongan dan undi semata-mata.
Oleh sebab itu, Islam sangat menitikberatkan soal menepati janji kerana ia merupakan asas kepada pembinaan kepercayaan dan keharmonian masyarakat.
Apatah lagi, janji yang diucapkan itu bukan sekadar perkataan yang keluar daripada mulut seseorang, bahkan ia merupakan suatu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT,
Ingatlah! Antara tanda kemunafikan ialah apabila seseorang berjanji lalu memungkirinya.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Empat perkara, sesiapa yang ada padanya empat perkara tersebut maka dia adalah seorang munafik yang sebenar. Jika ada padanya salah satu daripada sifat tersebut, maka pada dirinya terdapat sifat kemunafikan sehingga dia meninggalkannya, iaitu: apabila diberi amanah dia khianati, apabila berbicara dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila bertengkar dia melampaui batas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa empat perkara yang disebutkan merupakan ciri-ciri orang munafik. Sesiapa yang melakukannya maka dia telah menyerupai golongan munafik.
Sebagai orang yang beriman, kita seharusnya menjauhkan diri dari ciri-ciri atau sifat orang munafik.
Sidang Jumaat yang diraikan,
Sebenarnya, banyak kebaikan dan kesan positif akan dapat dicapai apabila amanah dan janji ditunaikan.
Akhlak pemimpin yang sentiasa menunaikan janji akan menimbulkan rasa hormat dan meningkatkan kepercayaan dalam kalangan rakyat.
Sikap menunaikan janji dalam keluarga akan mengukuhkan ikatan kasih sayang dan keakraban.
Budaya menunaikan janji dalam perniagaan akan memajukan ekosistem ekonomi negara.
Etika menunaikan janji sebagai penjawat awam pula akan menyumbang kepada lahirnya sistem penyampaian perkhidmatan yang efektif, cekap dan efisien.
Ketahuilah bahawa kepercayaan boleh musnah hanya dengan satu pengkhianatan atau satu janji yang dimungkiri, namun untuk mengembalikannya semula mungkin memerlukan masa yang panjang, bahkan ada kalanya tidak dapat dikembalikan lagi.
Justeru itu, peliharalah setiap amanah dan tunaikanlah setiap janji yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.
Imam al-Ghazali menyatakan, maka berhati-hatilah kamu daripada berjanji sesuatu lalu tidak menunaikannya.
Sepatutnya kamu berbuat baik kepada manusia melalui tindakan tanpa banyak berkata-kata. Jika kamu terpaksa membuat janji, maka jangan sesekali memungkirinya.
Saudaraku sidang Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan:
1. Umat Islam hendaklah menunaikan amanah dan menepati janji kerana kedua-duanya merupakan antara sifat utama orang beriman, yang disukai oleh Allah SWT dan semua manusia.
2. Umat Islam hendaklah membuktikan kata-kata melalui tindakan, bukan hanya sekadar mudah berjanji tanpa kesungguhan untuk menunaikannya, kerana perbuatan memungkiri janji termasuk dalam sifat yang dicela oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah terhadapamanah, janji dan hak-hak manusia yang berada di bawah tanggungjawab mereka, kerana semua itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

“Antara orang yang beriman itu ada orang yang menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka ada juga antara mereka yang telah selesai melaksanakan janji mereka (lalu gugur syahid) dan ada antaranya yang menunggu giliran dan mereka tidak mengubah (apa-apa yang telah dijanjikan oleh mereka itu) sedikit pun. (Surah al-Ahzab: 23).

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 26 Jun 2026 bersamaan 10 Muharram 1448.

