JENAMA makanan tempatan yang sedang berkembang pesat, Pop Meals mensasarkan untuk memiliki 100 outlet di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Pengarahnya, Nursuriani Tajul Azhar berkata, pada masa kini memiliki 87 outlet di Lembah Klang, Melaka dan Johor sekali gus menunjukkan pihaknya berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata, perkembangan positif itu mencerminkan permintaan kukuh daripada pengguna Malaysia terhadap hidangan yang berpatutan, mudah, dan dekat dengan cita rasa harian.
“Pensijilan Halal ini hadir pada masa yang amat bermakna buat Pop Meals ketika syarikat sedang meningkatkan operasi bagi menyokong rangkaian outletnya yang semakin berkembang.
“Selain jenama Pop Meals, dapur pusat syarikat kini juga telah mendapat pensijilan Halal rasmi, disokong oleh Sistem Jaminan Halal yang ketat bagi memastikan kebolehkesanan 100 peratus bahan mentah dari dapur hingga ke outlet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan Pensijilan Halal khas yang diadakan di outlet Pop Meals Pantai Hospital, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Pengurus Kualiti Halal Pop Meals, Syahida Wahid Udin dan Eksekutif Halal Pop Meals, Ainna Sofia Zamri serta wakil-wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Nursuriani berkata, sejak penubuhan pada 2021 dengan outlet pertamanya di D’Pulze Cyberjaya, syarikat itu memberi tumpuan kepada penyediaan hidangan yang dikenali, digemari, dan dinikmati oleh rakyat Malaysia secara harian, sambil menjadikannya lebih mudah dan mampu milik untuk gaya hidup moden.
“Hari ini, Pop Meals mempunyai pasukan yang terdiri daripada lebih 91 peratus ahli pasukan Melayu, dengan ramai daripada mereka berkhidmat di ibu pejabat, operasi kedai makan, kualiti, dan fungsi sokongan syarikat,” kata beliau.
Sementara itu, Nursuriani berkata, Pop Meals berhasrat untuk membawa hidangan klasik Malaysia kepada lebih ramai pelanggan itu di seluruh Asia Tenggara dan seterusnya.
Katanya, pada masa kini syarikay itu telah menjalin usaha sama dengan konglomerat runcit tempatan yang kukuh sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan serantaunya, dengan menggabungkan jenama makanan dan model operasi Pop Meals bersama rakan kongsi tempatan yang berpengaruh di pasaran baharu. — Edisi 9

