HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan jangka panjang serta memperluaskan portfolio syarikat dalam segmen pendidikan swasta K-12.
Cadangan pengambilalihan itu melibatkan pemerolehan kepentingan pajakan vendor bagi tanah dan bangunan sekolah antarabangsa berkenaan yang terletak di kawasan pembangunan KL East di Setapak, Kuala Lumpur.
Sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan induk KL East oleh Sime Darby Property yang dibangunkan sebagai perbandaran bersepadu meliputi lebih 159 ekar di kaki Bukit Tabur dan Klang Gates Quartz Ridge.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, cadangan itu merupakan langkah strategik untuk meningkatkan daya tahan portfolio Hektar REIT menerusi pendapatan yang lebih stabil dan boleh diramal.
“Cadangan pengambilalihan ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan keterlihatan pendapatan dan daya tahan portfolio Hektar REIT.
“Struktur pajakan jangka panjang, ditambah dengan peningkatan sewa kontrak, menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan boleh diramal sambil meningkatkan pendedahan kami kepada sektor pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengambilalihan tersebut diyakini mampu melengkapi portfolio sedia ada syarikat dan menyokong objektif untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit dalam jangka panjang.
Di bawah cadangan itu, vendor yang juga pengendali sekolah sedia ada akan terus menguruskan operasi sekolah menerusi pengaturan pajakan balik jangka panjang.
Perjanjian pajakan kecil tersebut distrukturkan secara tiga kali ganda bersih dengan penyewa bertanggungjawab terhadap semua kos berkaitan hartanah termasuk cukai tanah, taksiran, penyelenggaraan, utiliti dan insurans.
Selain itu, ia turut merangkumi kenaikan kadar sewa sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun sekali yang dijangka memberi pertumbuhan pendapatan berterusan kepada Hektar REIT.
Menurut Hektar Asset Management, pengambilalihan itu dijangka menjana purata hasil bersih sekitar 8.87 peratus sepanjang tempoh 30 tahun.
Ketika ini, aset berkenaan terdiri daripada dua fasa pembangunan melibatkan bangunan prasekolah dan sekolah rendah sedia ada, manakala pembangunan Fasa 3 bagi blok sekolah menengah akan dilaksanakan oleh penjual dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan selepas perjanjian dimuktamadkan.
Apabila siap sepenuhnya kelak, kampus tersebut dijangka mampu menampung sehingga 1,300 pelajar dengan keluasan lantai kasar kira-kira 241,055 kaki persegi.
Cadangan pengambilalihan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang unit Hektar REIT, pihak berkuasa kawal selia serta penyenaraian unit baharu yang akan diterbitkan sebagai sebahagian daripada pertimbangan pembelian.
Sekiranya tiada sebarang halangan, transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama tahun 2027.

