HEKTAR Asset Management Sdn. Bhd., pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) meneruskan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi dua inisiatif kesukarelawanan komuniti dan alam sekitar yang dilaksanakan sepanjang Disember lalu.
Inisiatif tersebut melibatkan penyertaan aktif kakitangan syarikat dalam usaha menyokong keselamatan makanan komuniti bandar serta pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Pada 20 Disember, seramai 25 pekerja Hektar menyertai program kesukarelawanan bersama Kechara Soup Kitchen bagi menyokong SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Sifar Kelaparan).
Menerusi program itu, sebanyak 365 set hidangan panas berjaya disediakan dan diedarkan kepada individu serta keluarga memerlukan di sekitar Jalan Imbi, Medan Tuanku dan Pudu.
Menurut Hektar, program tersebut bukan sahaja memberi bantuan makanan, malah meningkatkan kesedaran sukarelawan terhadap isu ketidakamanan makanan bandar serta cabaran yang dihadapi komuniti kurang berkemampuan.

Manakala pada 13 Disember, Hektar turut menganjurkan program pembersihan pantai di Kuala Selangor dengan kerjasama myCleanBeach, melibatkan 50 sukarelawan dan menyokong SDG 13 (Tindakan Iklim) serta SDG 14 (Hidupan di Bawah Air).
Hasil program itu, sebanyak 498.5 kilogram sisa berjaya dikumpulkan, merangkumi sisa umum, plastik, barangan besar terbuang, logam dan kaca, sekali gus menzahirkan realiti pencemaran marin yang semakin membimbangkan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, komitmen kemampanan syarikat bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan aset, malah turut melibatkan sokongan berterusan kepada komuniti dan alam sekitar.





“Di Hektar REIT, kami percaya impak sebenar dicipta melalui tindakan yang konsisten dan praktikal. Saya berbangga dengan komitmen kakitangan yang tampil dengan empati dan semangat sukarelawan dalam setiap inisiatif yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, program kesukarelawanan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda alam sekitar dan sosial Hektar REIT yang lebih menyeluruh, dengan penekanan terhadap penglibatan pekerja, kerjasama komuniti serta pencapaian hasil yang boleh diukur.
Hektar REIT, katanya, akan terus memperkukuh usaha kemampanan bagi menyokong pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan persekitaran yang lebih lestari, sejajar dengan keutamaan jangka panjang syarikat. — Edisi 9

