SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan operasi pemeriksaan (Op Optik) di sebuah syarikat dan merampas 10,112 unit peralatan tidak diperakui dengan anggaran nilai RM1 juta.
MCMC dalam kenyataan berkata, syarikat yang beroperasi di Klang dan Petaling Jaya itu dipercayai terlibat dalam penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal standard yang ditetapkan pihaknya.
Menurut MCMC, operasi dilaksanakan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM, dengan penglibatan seramai 69 pegawai.
“Operasi ini telah dijalankan baru-baru ini dan mengambil masa selama 19 jam, bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 4 pagi.
“Antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) dan beberapa peralatan sokongan operasi premis termasuk komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
MCMC berkata, pihaknya mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.
Katanya, seramai 40 individu telah diambil keterangan awal manakala sembilan diberi Notis Kehadiran.
Mereka terdiri daripada pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.
“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal, selain boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“MCMC menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna,” katanya. — Edisi 9

