Saturday, June 20, 2026

Kandungan hina Sultan Selangor, seorang lelaki ditahan

Tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap satu akaun Facebook dikenali sebagai “Lucas Liam” yang didakwa memuat naik kandungan menghina institusi diraja pada 2 Mei lalu.

Mesti Baca

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 7.10 petang semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hasil risikan pihak berkuasa.

Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap satu akaun Facebook dikenali sebagai “Lucas Liam” yang didakwa memuat naik kandungan menghina institusi diraja pada 2 Mei lalu.

“Tangkapan ini dibuat melalui kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membantu mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun yang disiasat.

“Pasukan serbuan turut berjaya merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung besert kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, setakat ini, sebanyak 12 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan kes sama, manakala permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda dan penjara sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang tersebut.

Dalam pada itu, PDRM menegaskan sebarang penyalahgunaan media sosial yang menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan platform ini dengan berhemah dan bertanggungjawab.

“PDRM komited untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan