PENTADBIR akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre dipanggil bagi membantu siasatan susulan satu hantaran jelik melampau terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi akaun media sosial pertubuhan itu, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bagi kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, raja dan kaum) itu.
“MCMC telah mengambil rakaman percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir kepada akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre pada hari ini untuk membantu siasatan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala pihak PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan turut dijalankan.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap institusi diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta bahawa sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah, khususnya melibatkan institusi diraja akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang.
Sebelum ini, Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor telah mengecam sekeras-kerasnya berhubung hantaran jelik dan tidak bertanggungjawab oleh pemilik akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Center yang memuat naik suntingan gambar menghina Sultan Selangor terkait penternakan babi di negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor berkata, tindakan provokasi yang tidak bertanggungawab dan biadap itu merupakan satu penghinaan amat serius terhadap institusi diraja yang boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri itu.
“Ini bukan sekadar isu sensitiviti melibatkan institusi diraja tetapi merupakan satu bentuk penghinaan yang serius terhadap raja-raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.
Sehubungan itu, dewan terbabit mendesak MCMC dan PDRM mengambil tindakan tegas bagi memastikan mereka yang terbabit diambil tindakan sewajarnya. – Edisi 9

