AHLI-AHLI Dewan Diraja Selangor mengecam sekeras-kerasnya berhubung hantaran jelik dan tidak bertanggungjawab oleh pemilik akaun ‘Huayan The Pureland Learning Center’ yang memuat naik suntingan gambar menghina Sultan Selangor menerusi media sosial terkait penternakan babi di negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor berkata, tindakan provokasi yang tidak bertanggungawab dan biadap itu merupakan satu penghinaan amat serius terhadap institusi diraja yang boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri itu.
“Ini bukan sekadar isu sensitiviti melibatkan institusi diraja tetapi merupakan satu bentuk penghinaan yang serius terhadap raja-raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor, katanya, sentiasa mengambil berat dan memandang serius ke atas isu melibatkan penghinaan institusi diraja di negeri ini.
Justeru, mereka mahukan tindakan keras diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah mengganggu ketenteraman masyarakat di negeri Selangor.
Selain itu, katanya, tindakan tegas juga perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memastikan mereka yang terbabit diambil tindakan sewajarnya.
Di samping itu, jelasnya, Kementerian Komunikasi perlu memainkan peranan penting memastikan pengguna sentiasa beretika dan bertanggungjawab ketika memuat naik hantaran dalam media sosial.
Katanya, ini termasuk menggiatkan usaha bagi menyedarkan masyarakat tentang penggunaan media sosial secata berhemah dan berintegriti.
“Sebagai rakyat yang hidup dalam negara yang berbilang kaum dan bersifat majmuk, sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam ini dan perpaduan rakyat seharusnya ditolak sama sekali.
“Setiap rakyat diseru supaya sentiasa memelihara hubungan baik antara kaum agar keamanan negara ini dapat terus dipelihara,”katanya.
Difahamkan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor telah membuat satu laporan polis berhubung hantara tersebut di ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini. – Edisi 9

