SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan usaha kerajaan memulihara Bangunan Sultan Abdul Samad.
Bertitah semasa berkenan melakukan lawatan ke bangunan bersejarah di tengah Kuala Lumpur itu, baginda merakamkan penghargaan kepada Khazanah Nasional atas usaha murni dalam membangunkan serta memulihara semula bangunan berkenaan dengan begitu cantik, teliti dan penuh berwibawa.
“Beta juga ingin mengimbas kembali bahawa pada sekitar tahun 2018 atau 2019, Beta pernah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan beberapa bangunan bersejarah penting Selangor di Kuala Lumpur yang semakin terabai.
“Justeru, sekarang Beta berasa amat gembira melihat bahawa dengan usaha gigih Khazanah Nasional, Bangunan Sultan Abdul Samad serta (Carcosa) Seri Negara kini telah dipulihkan kepada keindahan asalnya,” titah baginda.
Lawatan Sultan Sharafuddin ke Bangunan Sultan Abdul Samad diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.

Bangunan Sultan Abdul Samad juga mempunyai makna yang sangat signifikan kepada baginda yang pernah berkhidmat di bangunan tersebut pada tahun 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris.
Baginda menegaskan, sekiranya usaha seperti ini tidak dilaksanakan, maka warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai ini berisiko untuk hilang dan lenyap begitu sahaja.
Baginda khuatir akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang.
“Beta berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa, bukan sahaja untuk Bangunan Sultan Abdul Samad, malah untuk semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang ada kaitan dengan Negeri Selangor.
“Warisan sejarah bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan asas jati diri bangsa dan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” titah baginda.
Untuk rekod, Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina tahun 1896 itu mempunyai nilai sejarah yang amat besar sebagai pejabat pentadbiran kerajaan Selangor.
Pada tahun 1896, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bangunan tersebut turut dijadikan sebagai ibu pejabat persekutuan tersebut.
Bangunan itu telah siap dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan dan dirasmikan pada 3 April 1897 semasa pemerintahan nenda baginda yang juga Sultan Selangor Keempat, Almarhum Sultan Sir Abdul Samad.
Selama 77 tahun, bangunan tersebut dikenali sebagai Sekretariat Selangor dan Sekretariat Persekutuan, mencerminkan peranan dwi-fungsi yang amat penting dalam pentadbiran negara ketika itu.
Berikutan peralihan status Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 dengan perkenan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, serta perpindahan ibu negeri Selangor ke Shah Alam, bangunan tersebut telah menjadi milik Kerajaan Persekutuan dan dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.
“Sesungguhnya, peristiwa penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada ketika itu adalah pengorbanan terbesar Ayahanda Beta demi pembangunan dan kemajuan Malaysia seluruhnya, dan Bangunan Sultan Abdul Samad ini adalah saksinya,” titah baginda.
Pemuliharaan enam blok kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah Nasional melibatkan kos sebanyak RM600 juta.
Pelaburan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Warisan KL, yang akan terus menggiatkan semula warisan ibu kota dan mentakrifkan semula peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi. — Edisi 9

