Monday, July 13, 2026

Alangkah baiknya LRT3 ikut perancangan asal – Sultan Selangor

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur kerana projek LRT3 Laluan Shah Alam yang sekian lama dinantikan akhirnya menjadi kenyataan.

Baginda bertitah, projek yang memberi manfaat besar kepada rakyat itu bukan sahaja meningkatkan mutu kehidupan mereka malahan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

Bagaimanapun baginda agak terkilan kerana projek yang dimajukan oleh Prasarana Malaysia Berhad untuk itu tidak dibangunkan seperti perancangan asal.

“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana baginda berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, baginda diiringi Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah merasai sendiri pengalaman menaiki LRT3 dari stesen Bandar Utama di Petaling Jaya hingga ke stesen Johan Setia di Klang.

Sultan Sharafuddin turut memuji kesabaran rakyat Selangor menunggu sehingga RT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan dan percaya ada hikmah yang Allah S.W.T ingin tunjukkan daripada kelewatan ini.

Pada masa sama, baginda turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina semula iaitu stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berhampiran.

Baginda juga berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana dan juga MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 ini.

Baginda telah disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam. 

Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun sembilan bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, tenaga mahir, pekerja pembinaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, kakitangan pentadbiran serta petugas sokongan, melibatkan rakyat Malaysia dan juga pekerja dari luar negara. 

Baginda berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas peranan setiap daripada mereka dalam mengubah perancangan bertahun-tahun menjadi sebuah sistem pengangkutan moden harian.

Titah Baginda, walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya.

Sultan Selangor berharap agar warga kerja Prasarana dapat sentiasa memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam ini dan meminimumkan sebarang gangguan.

Baginda juga berpesan kepada rakyat jelata memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan. — Edisi 9

Terkini

Onn Hafiz angkat sumpah MB, Johor isytihar cuti peristiwa esok

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar setelah parti...

Lagi Artikel Berkaitan