Sunday, July 12, 2026

Onn Hafiz angkat sumpah MB, Johor diisytihar cuti peristiwa esok

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar setelah parti Barisan Nasional (BN) Johor yang dipimpinnya mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan bergaya, semalam.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharaan Pelantikan Menteri Besar berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Istiadat dimulakan dengan bacaan Surat Tauliah Menteri Besar Johor oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir yang turut dihadiri Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Terdahulu, Onn Hafiz tiba di Istana Bukit Serene kira-kira pukul 3.42 petang dan kenderaan yang membawa Pengerusi BN Johor itu, kemudian dilihat keluar semula pada pukul 4.50 petang.

Sementara itu, Onn Hafiz merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang memberi perkenan serta kepercayaan kepadanya untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor. Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.

“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya menerusi Facebook beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Tunku Mahkota Ismail turut perkenan untuk mengisytiharkan esok, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.

Beliau berkata, pengisytiharan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam PRN Johor Ke-16 itu.

Onn Hafiz turut memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan beliau menerajui Johor buat penggal kedua.

Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya. Insya-Allah,” katanya.

Pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu itu, selepas BN memperoleh mandat besar pada PRN Johor ke-16 semalam, dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – Edisi 9

Terkini

Kor Ming jual nama Najib elak desakan letak jawatan

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjual nama Datuk Seri Najib Razak sebagai alasan untuk mengelak desakan...

Lagi Artikel Berkaitan