SEKOLAH Rendah Tahfiz Al-Quran (SRTAQ) Integrasi Al-Irshad, Seremban, Negeri Sembilan hari ini menerima bantuan kewangan sebanyak RM100,000 menerusi Inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI, sekali gus dipilih sebagai salah sebuah daripada 1,500 Sekolah Angkat Malaysia MADANI di seluruh negara bagi tahun 2026.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr. Roslan Hussin sempena Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Sekolah Angkat Malaysia MADANI yang diadakan di sekolah berkenaan.
Ketika berucap pada majlis itu, Roslan berkata, bantuan yang disalurkan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan hasil pembangunan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Bantuan ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik, malah merupakan pelaburan kerajaan dalam membangunkan modal insan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan bagi melaksanakan beberapa projek penambahbaikan di sekolah, termasuk membaik pulih surau, membina ruang menunggu ibu bapa, menaik taraf laman tani, menubuhkan koperasi sekolah serta projek-projek lain yang memberi manfaat kepada murid guru dan komuniti sekolah.
Roslan turut menyeru pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat untuk berganding bahu menjayakan pelaksanaan projek-projek tersebut melalui semangat gotong-royong dan kerjasama.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar
menguruskan peruntukan yang diterima secara berintegriti, telus dan berakauntabiliti bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan impak maksimum kepada pembangunan sekolah dan kesejahteraan murid
Inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan
MADANI bertujuan memperkasa institusi pendidikan, khususnya sekolah agama dan tahfiz, melalui penyediaan bantuan kewangan bagi menaik taraf kemudahan, prasarana dan kebajikan warga sekolah. – Edisi 9

