Saturday, July 11, 2026

Dua kod baharu lindungi kanak-kanak di ruang siber

Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan pengguna rentan dalam persekitaran digital.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.

Menurut MCMC, pelaksanaan kedua-dua kod tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian selaras dengan usaha kerajaan memastikan pengalaman digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.

“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, CPC dan RMC menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam platform masing-masing.

Katanya, pendekatan pelaksanaan di bawah kod tersebut adalah berasaskan hasil, sekali gus memberi fleksibiliti kepada penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan aspek keselamatan, privasi dan perundangan.

Menurut kenyataan itu, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak menerusi penerapan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety by design.

“Malah, ia termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun,” katanya.

Tambah MCMC, langkah di bawah CPC turut menyediakan perlindungan mengikut umur selain mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi dan kandungan memudaratkan.

Sementara itu, RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif serta menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan termasuk melalui penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh dan mekanisme pelaporan serta respons yang berkesan.

Menurut MCMC, kod tersebut turut melibatkan langkah pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan yang dimanipulasi.

“CPC dan RMC akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026. Tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Khutbah Jumaat: Menepati janji, membina kepercayaan

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala...

Lagi Artikel Berkaitan