SEORANG didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik dan menyebarkan kandungan bersifat palsu yang mengandungi nama dan logo ‘BuletinTV3’ baru-baru ini.
Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, dituduh menyebarkan kandungan tersebut mendakwa kenaikan harga yang sangat berbeza dengan sumber rasmi bagi bahan api petrol dan diesel yang berkuat kuasa pada 1 April 2026 menerusi platform media sosial Threads pada 31 Mac 2026.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Threads secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 4 Mei ini.
Jika didapati bersalah, hukuman yang akan dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. — Edisi 9

