PEMUDA UMNO mendedak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan pesta air, Rain Rave Water Music Festival 2026 kerana program tersebut merupakan cadangan paling bodoh pernah diberikan.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bukan sahaja membazirkan wang negara tetapi juga bekalan air ketika rakyat berdepan krisis global dan kemarau panjang.
Beliau berkata, Pemuda UMNO menerima keputusan kerajaan membatalkan semua majlis rumah terbuka anjuran kementerian sebelum ini atas alasan penjimatan walaupun ia bertujuan menjamu rakyat dan memberi rezeki kepada vendor makanan.
“Tetapi persoalan saya kepada Perdana Menteri, kenapa pesta air ini tidak dibatalkan sekali?
“Adakah pesta air ini lebih bernilai daripada majlis rumah terbuka? Adakah langkah penjimatan yang dicadangkan oleh kerajaan tidak terpakai untuk pesta air ini?,” tegas beliau hari ini.
Dr Akmal berkata, ketika kerajaan berusaha membuat pembenihan awan untuk menambah kapasiti air di empangan, MOTAC sebaliknya sibuk membuat pesta air.
Beliau turut bertanyakan pendirian Menteri Hal Ehwal Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung pesta air yang akan berlangsung di Jalan Bukit Bintang di ibu negara.
“Mohon Perdana Menteri batalkanlah pesta air ini. Pesta air ini adalah cadangan yang paling bodoh pernah diberikan.
“Buang sahajalah Menteri Pelancongan (Datuk Seri Tiong King Sing) wahai YAB Perdana Menteri,” katanya.
Pesta air yang berlangsung mulai 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebelum ini turut mendapat bantahan pelbagai pihak memandangkan ia mengambil konsep Pesta Songkran yang diraikan oleh masyarakat Siam di Thailand.
Untuk rekod Pesta Air Songkran ialah sambutan Tahun Baharu Tradisional Thai yang diraikan setiap tahun dari 13 hingga 15 April, menandakan penghujung musim kemarau.
Ia terkenal sebagai pesta air terbesar di dunia, menggabungkan ritual penyucian Buddha dengan “perang air” meriah di seluruh jalan, terutamanya di Bangkok, Chiang Mai, dan Phuket. — Edisi 9

