KERAJAAN menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah di Semenanjung Malaysia bermula 19 Mei ini.
KPKM dalam kenyataan berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan beban modal permulaan yang sebelum ini perlu ditanggung sendiri oleh pesawah sebelum kerja pembajakan dimulakan.
Menurut kementerian itu, pembayaran akan dibuat secara berperingkat mengikut jadual serta pengesahan agensi berkaitan.
“Pelaksanaan bantuan ini melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa dengan keutamaan kepada musim 1/2026 di Semenanjung Malaysia,” katanya hari ini.
KPKM berkata, bagi Sabah dan Sarawak, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada memandangkan pesawah di kedua-dua negeri masih menikmati subsidi diesel.
Melalui pelaksanaan itu, pesawah akan menerima bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara one-off sebelum atau semasa kerja membajak dimulakan, manakala baki RM100 sehektar akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, bantuan akan disalurkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar.
“Bagi kes tertentu, pembayaran tunai turut boleh dibuat melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya.
KPKM yakin langkah berkenaan mampu membantu meningkatkan aliran tunai pesawah selain mempercepat persiapan musim penanaman padi.
“Kementerian juga berharap bantuan ini memberi keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka di peringkat lapangan,” ujarnya.
Tambah kementerian itu, kerajaan akan terus komited memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah. — Edisi 9

