SEBANYAK 639 kes tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM244 juta direkodkan menerusi Operasi Naga (Op Naga) sejak 2019 hingga 31 Mac lalu, sekali gus membuktikan ketegasan berterusan Malaysia dalam membanteras pencerobohan asing dan aktiviti perikanan haram di perairan negara.
Daripada jumlah itu, Op Naga Barat Terengganu mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 436 kes diikuti Timur Sarawak (128 kes) sementara Timur Sabah sebanyak 75 kes.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi bersepadu yang digerakkan melalui pendekatan seluruh agensi berkaitan itu turut membuktikan keberkesanan sinergi 17 agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam mempertahankan kedaulatan serta melindungi sumber ekonomi laut negara.
“Kejayaan itu disifatkan sebagai bukti keberkesanan pelaksanaan operasi bersepadu yang menyaksikan penglibatan besar-besaran agensi keselamatan dan penguatkuasaan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara dan melindungi sumber ekonomi laut yang tidak ternilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Op Naga Siri 12 Bilangan 1/2026 di Putrajaya hari ini.
Untik rekod, kerajaan telah menubuhkan Task Force yang melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan pada April 2019.
Rentetan itu, pengaktifan operasi bersepadu, Op Naga telah bermula di perairan Pantai Timur Semenanjung sebelum diperluaskan ke perairan Sabah dan Sarawak.
Maritim Malaysia telah dilantik sebagai agensi penyelaras dalam operasi yang dilaksanakan secara bersepadu ini, bersama-sama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa awam yang lain.
Mohd Zawawi berkata, Op Naga merupakan operasi bersepadu berterusan yang digerakkan bagi menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, khususnya di Laut China Selatan.
Jelas beliau, sejak dilaksanakan, Op Naga turut merekodkan 180,767 pemeriksaan serta penahanan 5,139 nelayan asing dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina, yang terlibat dalam aktiviti Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing.
“Pencerobohan vesel nelayan asing bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi ancaman langsung kepada kedaulatan negara, keselamatan perairan serta kelangsungan sumber ekonomi maritim,” ujar Zawawi.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti IUU fishing telah menyebabkan kerugian besar kepada industri perikanan tempatan serta merosakkan ekosistem marin negara yang tidak ternilai.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi juga amat berpuas hati dengan penganjuran Bengkel Combined Strategic Communication Working Group (CSCWG) Op Naga 2026 yang diadakan buat julung kalinya selama dua hari pada 4 dan 5 Mei lalu.
Bengkel CSCWG yang menghimpunkan pegawai komunikasi daripada 17 agensi keselamatan disifatkan sebagai langkah penting memperkukuh strategi komunikasi operasi.
“Dalam era dominasi maklumat digital, kejayaan operasi keselamatan tidak lagi hanya diukur melalui tangkapan di lapangan, tetapi juga keupayaan mengurus naratif, persepsi dan keyakinan awam secara berkesan.
“Komunikasi strategik yang terselaras adalah benteng penting dalam memastikan setiap kejayaan operasi sampai kepada rakyat dengan tepat, pantas dan diyakini,” katanya.
Gabungan kekuatan operasi dan komunikasi strategik itu dijangka terus memperkukuh keberkesanan Op Naga sebagai benteng utama negara dalam mengekang pencerobohan asing dan jenayah rentas sempadan di perairan Malaysia.
Op Naga kekal sebagai operasi bersepadu tanpa kompromi dalam memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. — Edisi 9

