Thursday, June 25, 2026

Puad ugut tinggalkan UMNO jika anak tak jadi calon – Asyraf

Mesti Baca

TINDAKAN Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti itu kerana kecewa apabila anaknya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dedah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, bekas ADUN Rengit yang juga Speaker DUN Johor itu sendiri menulis kepadanya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.

“Saya berasa dukacita dengan pengumuman sahabat saya Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan untuk keluar dari UMNO serta-merta hari ini. 

“Ya, itu merupakan hak demokrasi beliau yang dipertahankan oleh Perlembagaan. 

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.

“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohd Puad yang mengumumkan meninggalkan UMNO berkuat kuasa hari ini kerana mendakwa UMNO Johor hanya sekadar menjadi “boneka yang terikat” kepada pihak istana.

Asyraf Wajdi mengakui, anak Mohd Puad masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih serta diangkat sebagai pemimpin. 

“Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya.

“Walau bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit. 

“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, ini bukan kali pertama Mohd Puad mengugut untuk keluar daripada parti apabila tidak memenuhi kehendaknya.

Jelasnya, ketika zaman Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat. 

“Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin. 

“Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu. 

“Parti ini telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama,” katanya.

Justeru, katanya, amat tidak wajar setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. 

Mohd Puad sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit yang dimenangi dalam PRN lalu atas faktor usia dan kesihatan.

Sehubungan itu, beliau telah memberikan cadangan ciri-ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan antara berkelulusan, berakhlak, komited pada perjuangan dan faham hala tuju bangsa.

Bagaimanapun, semalam Mohd Puad tidak berpuas hati apabila calon yang beliau cadangkan tidak terpilih sehingga membawa tindakan “keberanian politik” iaitu meninggalkan UMNO hari ini.

Untuk rekod, dalam PRN Johor kali ini, Barisan Nasional (BN) meletakkan Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi tersebut. — Edisi 9

Terkini

Puad tinggalkan UMNO, dakwa parti sekadar ‘boneka’ istana

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertindak meninggalkan parti itu berkuat kuasa hari ini susulan tidak...

Lagi Artikel Berkaitan