Wednesday, June 24, 2026

Generali lancar Gen Sinar, bantu lindungi pendidikan keluarga B40

Mesti Baca

GENERALI Insurance Malaysia Berhad (Generali Insurance) melancarkan pelan insurans kemalangan diri mampu milik dikenali sebagai Gen Sinar bagi membantu keluarga B40 mendapatkan perlindungan kewangan serta memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal terhadap penyara keluarga akibat kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance, Fabrice Benard berkata, Gen Sinar dibangunkan sebagai satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat untuk membantu golongan rentan memperoleh perlindungan kewangan yang lebih mudah diakses.

Menurut beliau, pelan tersebut diwujudkan berdasarkan pemahaman terhadap cabaran yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah, khususnya mereka yang bergantung kepada seorang penyara keluarga.

“Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berasaskan model bukan untung.

“Kami percaya pendidikan ialah kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan. Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga yang kurang berkemampuan, kami mahu memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun berdepan situasi yang sangat mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pelan tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Hadri sama Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong.

Benard berkata, masih terdapat jurang perlindungan kewangan dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan di negara ini yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan tidak dijangka.

Sehubungan itu, katanya, Gen Sinar diperkenalkan bagi membantu merapatkan jurang tersebut dengan menyokong kesinambungan pendidikan anak-anak dan meningkatkan daya tahan kewangan keluarga.

Melalui pelan berkenaan, peserta hanya perlu membayar premium serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya, termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak, surat ikatan amanah dan cukai perkhidmatan.

Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, keluarga akan menerima manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000.

Selain itu, setiap anak yang layak akan menerima elaun pendidikan bulanan RM250 sehingga berumur 18 tahun dengan jumlah manfaat keseluruhan mencecah RM100,000.

Sementara itu, Ngee Heong berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir daripada memperoleh perlindungan kewangan dan sokongan pendidikan.

“Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya bukan sahaja bertanggungjawab melindungi kepentingan benefisiari, malah turut memainkan peranan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.

“Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, selain memastikan dana pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus secara telus demi manfaat masa depan mereka,” katanya.

Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar akan diuruskan oleh AmanahRaya selaku pemegang amanah bagi memastikan dana yang diperuntukkan digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan serta memberi manfaat berterusan kepada anak-anak penerima. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan