KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik langkah proaktif kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menambah baik bantuan kepada golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pengguna diesel yang layak.
KPKM berkata, penambahbaikan berkenaan amat signifikan dan tepat pada masanya dalam mendepani cabaran krisis tenaga global yang berlarutan susulan konflik di Asia Barat, sekali gus memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan negara.
Menurutnya, peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 disifatkan sebagai langkah yang amat membantu, khususnya kepada hampir 200,000 pesawah di seluruh negara.
“Kesinambungan insentif penuaian turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras negara,” kata KPKM dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan langkah segera dengan menambah baik bantuan diesel secara bersasar bagi meringankan beban rakyat susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memahami kesan langsung kenaikan harga bahan api terhadap kos sara hidup serta rantaian bekalan, khususnya dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat terus terpelihara meskipun berdepan kenaikan mendadak harga minyak dunia.
“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas (iaitu) memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.
“Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” katanya.
KPKM berkata, pihaknya turut menyambut baik peningkatan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.
Insentif itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.
“Bantuan ini akan membantu meringankan beban kos bahan api yang meningkat dan memastikan kelangsungan aktiviti pertanian serta pengeluaran makanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, keputusan kerajaan untuk melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian turut dilihat sebagai pendekatan pragmatik yang memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi dengan lebih efisien tanpa kekangan birokrasi.
Kementerian berkenaan yakin langkah-langkah yang diumumkan itu mampu memberi impak positif kepada produktiviti sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
“KPKM akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kementerian kekal komited menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor pertanian negara demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara. — Edisi 9

