Monday, July 20, 2026

Telur Gred Khas dengan harga berpatutan diperkenal – KPKM

Ia susulan langkah kerajaan menstrukturkan semula subsidi telur ayam berkuatkuasa esok, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari...

Mesti Baca

TELUR Gred Khas yang ditawarkan pada harga lebih berpatutan diperkenalkan sebagai inisiatif segera bagi memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, ia susulan langkah kerajaan menstrukturkan semula subsidi telur ayam berkuatkuasa esok, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan,” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

KPKM berkata, pengguna juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Katanya, langkah penstrukturan semula itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan subsidi, di mana penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada program-program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai teras Malaysia MADANI.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi,”kata kenyataan itu.

Untuk makluman, antara Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam – satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta
industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Kini, katanya, dengan keadaan pasaran yang semakin stabil, subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.

KPKM menjelaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Katanya, ini bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kementerian berkata, langkah itu penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil.

“Kerajaan MADANI sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan penamatan kawalan harga telur ayam mulai 1 Mei lalu manakala subsidi pula dikurangkan sebelum dihentikan sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan