Sunday, July 19, 2026

Konflik Asia Barat: Peruntukan subsidi dijangka bertambah – Zahid

Pada masa kini lebih 13.7 juta rakyat menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah peruntukan subsidi kepada rakyat dijangka bertambah susulan perkembangan konflik Asia Barat, khususnya peningkatan harga bahan api.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa kini lebih 13.7 juta rakyat menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, daripada jumlah tersebut, lebih separuh menerima sekurang-kurangnya dua bentuk bantuan, manakala hampir satu pertiganya dengan isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah. 

“Ini membuktikan bahawa bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Ke-17 di Putrajaya.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan khusus kepada kesiapsiagaan Kerajaan dalam menghadapi krisis tenaga global yang turut memberi kesan memberi terhadap harga barangan dan kos kehidupan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dalam usaha berterusan membantu rakyat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun 2026 untuk bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan. 

Beliau berkata, antara inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Kerajaan kekal berpegang kepada pendekatan menyeluruh dengan dua fokus utama iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan agar rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermaruah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahir menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah, khususnya dengan menjadikan konflik Asia Barat sebagai alasan. 

Katanya, kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan juga akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam,memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan, serta memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih jelas, telus dan mudah difahami.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan