JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan pemalsuan dokumen imigresen apabila menahan tiga warganegara China yang disyaki menggunakan pas palsu bagi menyokong permohonan visa ke Amerika Syarikat (AS).
Dalam operasi kira-kira jam 11.25 pagi semalam, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM menahan seorang lelaki dan dua wanita selepas mendapati mereka memiliki Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu.
Turut dirampas tiga pasport Republik Rakyat China yang mengandungi pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang juga dipercayai dipalsukan.
Menurut JIM, tangkapan tersebut merupakan tindakan susulan daripada pembongkaran sindiket sama pada 8 Oktober tahun lalu yang menyaksikan penahanan enam warga China serta dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ejen.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membekalkan pelbagai pas jangka panjang JIM yang palsu dengan harga sehingga RM10,000 sekeping untuk dijadikan sokongan bagi tujuan permohonan visa untuk masuk ke negara AS.

“Pas jangka panjang ini disyaki cuba digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa,” kata kenyataan JIM hari ini.
Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 54 tahun kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam perkembangan berasingan, JIM turut menahan 11 lagi warga China dalam operasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan dan pas penggajian.
Menurut kenyataan sama, serbuan di empat premis runcit dan restoran di Dengkil pada 31 Mac lalu membawa kepada penahanan lima individu yang dipercayai bekerja tanpa pas sah, walaupun memasuki negara ini sebagai pelancong.

Sementara itu, enam wanita turut ditahan dalam serbuan di Kepong kerana disyaki bekerja sebagai tukang urut menggunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian secara tidak sah.
“Kesemua wanita ini juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi.
“Turut ditahan, seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki sebagai majikan dan penjaga premis tersebut,” katanya.
JIM menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. — Edisi 9

