Sunday, June 14, 2026

Pegawai kanan Imigresen antara 10 ditahan dalam Ops Toyu

Dalam operasi ini juga, pasukan telah menahan satu Pegawai Kanan JIM yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam yang dipercayai sebagai ‘pemudah cara'.

Mesti Baca

SEORANG pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah antara 10 lelaki yang ditahan jabatan itu dalam Ops Toyu di sekitar kompleks tersebut, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula 12.50 petang itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Kedah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan tiga lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang Thailand yang dipercayai ‘ejen’ yang dikenali sebagai ‘Toyu’ serta transporter.

“Turut ditahan lima lelaki warganegara India dan satu lelaki warganegara Pakistan. 

“Dalam operasi ini juga, pasukan telah menahan satu Pegawai Kanan JIM yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam yang dipercayai sebagai ‘pemudah cara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara individu yang ditahan dalam Ops Toyu di CIQS Bukit Kayu Hitam, semalam.

Zakaria berkata, semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara India yang ditahan merupakan imigran yang disenaraihitam, seorang warganegara Pakistan menggunakan e-visa yang dipercayai palsu manakala warganegara asing lain yang ditahan merupakan imigran larangan.

Dalam operasi itu, JIM turut menyita sebanyak lima pasport India, satu pasport Pakistan, Pas Sempadan Malaysia, Pas Sempadan Thailand, Cap Keselamatan Imigresen, 12 unit telefon bimbit dan wang tunai 30,000 Rupee (kira-kira RM1,260). 

Katanya, turut disita, sebuah kereta jenis Nissan Sentra, dua buah motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini.

“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk warganegara asing terutamanya dari India yang dipercayai merupakan Imigran Larangan melalui pintu masuk darat secara terancang. 

“‘Ejen’ akan bertindak sebagai penyelaras pergerakan dengan menetapkan masa dan urusan kemasukan warganegara asing ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, warganegara asing terbabit akan dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia oleh ‘transporter’ yang berselindung sebagai pemandu teksi bagi mengaburi pihak berkuasa. 

“Setibanya di pintu masuk negara, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement ke dalam pasport warganegara asing ini walaupun telah tidak memenuhi syarat kemasukan.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap seorang manakala RM400 akan dibayar oleh ‘ejen’ kepada pegawai bagi setiap pasport yang diturunkan endorsement,” katanya.

Zakaria berkata, sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun dan mengakibatkan ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM4.1juta.

Dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan manakala seorang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 26J akta yang sama.

Lima lelaki warganegara India pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 sementara seorang lelaki warganegara Pakistan ditahan di bawah Sekayen 56(1)(l) akta tersebut.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan telah dikeluarkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawai JIM bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan