JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran warga Indonesia yang menggunakan laluan berlapis serta cap kemasukan palsu dalam operasi khas, awal pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA itu melibatkan dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hasil risikan terhadap pergerakan kumpulan migran dari Kelantan ke Lembah Klang.
“Dalam operasi di lokasi pertama iaitu TBG, seramai dua lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia telah ditahan.
“Turut diberkas, satu lelaki warganegara sama yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ yang menguruskan pergerakan dan logistik migran berkenaan di sekitar Kuala Lumpur,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Di TBS pula, Zakaria berkata, tujuh lagi individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan sindiket sama berjaya diberkas.
Tambah beliau, sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Mazda CX-5 turut disita kerana dipercayai digunakan bagi tujuan mengangkut migran ke lokasi seterusnya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengubah modus operandi daripada laluan laut kepada laluan udara dan darat secara berlapis bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Antara laluan dikenal pasti ialah pergerakan migran dari Indonesia ke Singapura sebelum diterbangkan Hatyai, Thailand sebagai transit.
“Setelah itu, mereka ditempatkan di rumah transit sebelum diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram di kawasan sempadan Bukit Bunga, Kelantan,” jelas beliau.
Zakaria berkata, migran kemudiannya dihantar ke ibu negara menggunakan beberapa perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam bagi mengaburi pergerakan mereka.
Katanya, sindiket dipercayai dikendalikan dalang utama dari Indonesia dengan rangkaian ejen berasingan di Hatyai yang mempunyai peranan khusus termasuk mengurus ketibaan migran, menyediakan rumah transit dan memalsukan cap kemasukan dalam pasport.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah mengubah modus operandi daripada menggunakan laluan laut di perairan Selangor kepada pendekatan yang lebih kompleks iaitu melalui laluan udara dan darat secara berlapis sebagai usaha untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket ini juga mengelak daripada menggunakan penerbangan terus ke Malaysia, kerana dipercayai kebanyakan migran terlibat telah disenaraihitam daripada memasuki negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kesemua migran berusia antara 27 hingga 60 tahun itu dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket untuk memasuki Malaysia secara tidak sah.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan warga tempatan yang bersekongkol dalam membantu sindiket termasuk urusan pembelian tiket dan penyelarasan logistik perjalanan.
Kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di depot tahanan imigresen bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang serta menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak melindungi, bersekongkol, atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen kerana tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil,” katanya. — Edisi 9

