Sunday, July 26, 2026

BN tolak politik perkauman, ketakutan – Zambry

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk politik perkauman dan politik ketakutan yang boleh memecah-belahkan rakyat serta menggugat keharmonian negara.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN sebagai gabungan politik pelbagai kaum telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan berasaskan perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan.

Menurut beliau, rekod tersebut menjadi antara kekuatan BN dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara.

“Sehubungan itu, BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, BN turut menolak politik ketakutan yang dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memerintah.

Katanya, politik ketakutan adalah berbahaya kerana boleh mengundang curiga, prasangka dan kebencian dalam kalangan rakyat.

“Malaysia tidak boleh dibina atas ketakutan terhadap satu sama lain, sebaliknya mesti diperkukuh melalui keyakinan, persefahaman dan rasa saling menghormati,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry menegaskan persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak bermaksud BN akan menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

“BN kekal berdiri atas prinsip sendiri,” katanya.

Beliau berkata, BN akan terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan selain mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara.

“Inilah asas yang telah menyatukan negara sejak merdeka dan mesti terus dipertahankan,” katanya.

Zambry berkata, BN menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan demi kepentingan politik sempit.

Sebaliknya, katanya, BN akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia. — Edisi 9

Terkini

NREA 2026 terima 117 penyertaan, melibatkan 23 kategori

ANUGERAH Hartanah Nasional (NREA) Ke-18 anjuran Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) mengiktiraf 83 penerima, sekali gus meraikan kecemerlangan pengamal...

Lagi Artikel Berkaitan