SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Itulah nasib seorang dalang utama sindiket pemalsuan dokumen warga asing yang berjaya ditumpaskan selepas tujuh tahun menjalankan kegiatan haram dengan anggaran keuntungan mencecah RM100 juta.
Dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Serkap, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan suspek utama, Mahendra Jung Shah @ “MJ”, 43, warga Nepal bersama lapan lagi individu dalam serbuan bersepadu pada 13 April lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 61 tahun terdiri daripada tiga lelaki Nepal, tiga lelaki India, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan serbuan ke atas enam lokasi hasil risikan berterusan selama enam bulan berdasarkan maklumat awam dan pemantauan strategik pasukan penguat kuasa.
“Dalam serbuan tersebut, pihak kami menemui dokumen imigresen seperti e-pass dan pelekat keselamatan yang telah diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya hari ini.
Zakaria berkata, antara barangan yang dirampas termasuk 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950.
Beliau berkata, suspek utama berjaya ditahan pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi di Jalan Galloway, Kuala Lumpur selepas pasukan operasi memintas kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaikinya ketika cuba melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama kira-kira tujuh tahun. Semakan lanjut bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang dijalankan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta jumlah sebenar keuntungan,” katanya.
Menurut beliau, enam samani kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Zakaria menegaskan, pihaknya terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha tersebut. — Edisi 9

