Tuesday, July 14, 2026

Johor minta siasatan menyeluruh operasi Network School di Forest City

Mesti Baca

KERAJAAN Negeri Johor meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan menegaskan Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri berkenaan sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta menjalankan semakan terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terbabit.

“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, siasatan juga perlu meliputi dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan telah diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.

Pada masa sama, katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan di peringkat negeri akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Menurut beliau, semakan itu merangkumi pematuhan syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan lain yang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.

“Kerajaan Negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. 

Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kewujudan Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua. — Edisi 9

Terkini

Shabery Cheek tamat perkhidmatan sebagai Pengerusi FELDA

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA telah berakhir...

Lagi Artikel Berkaitan