LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA telah berakhir pada 30 Jun lalu.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, sepanjang menerajui organisasi itu, Ahmad Shabery telah menggerakkan pelbagai inisiatif penting bagi menyokong agenda pengukuhan dan transformasi FELDA.
“la merangkumi usaha memperkasakan tadbir urus korporat, membina kerjasama strategik, serta meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap FELDA,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, pihak pengurusan dan seluruh warga FELDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih atas segala jasa, sumbangan, dan kepimpinan cemerlang beliau.
“Semoga asas kukuh yang telah dibina akan terus memacu kemajuan dan kelestarian FELDA pada masa hadapan,” katanya.
Ahmad Shabery yang juga mantan Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada 1 Julai 2023 menggantikan Tan Sri Idris Jusoh untuk tempoh dua tahun berakhir 30 Jun 2025.
Atas kecemerlangan beliau menerajui agensi itu, Ahmad Shabery telah dilantik semula untuk tempoh setahun bermula 1 Julai 2025.
Sehingga kini belum ada kepastian sama ada Ahmad Shabery akan dilantik semula ke jawatan itu atau sebaliknya. — Edisi 9

