PROJEK Legasi Ratna anjuran Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya memperkukuh hubungan mahasiswa dan komuniti Felda Kumai, Bera, Pahang.
Program yang berlangsung dari 16 hingga 18 Januari lalu itu melibatkan 36 mahasiswa UPSI dan disokong rakan strategik termasuk Klinik Kesihatan Kumai, JPKK Felda Kumai, UCTC UPSI, UPSI Holding Sdn. Bhd., WEZAS UPSI, Malaysia Youth Community serta Zillion Sollutions.
Pengarah Program, Danish berkata, projek tersebut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan mahasiswa memahami realiti masyarakat luar bandar secara lebih dekat.
Dia berkata, antara aktiviti utama ialah gotong-royong kampung, kenduri rakyat, penanaman pokok buah-buahan, penghasilan mural komuniti, pemeriksaan kesihatan awam serta segmen Lensa Desa Ratna yang merakam sejarah dan identiti Felda Kumai.
“Program turut diserikan dengan aktiviti kebudayaan dan kecergasan seperti Wayang Pacak, Sinar Run dan Jejak Nostalgia,” katanya dalam kenyataan baru-baru.

Selain itu, turut diadakan agihan Titipan Bakul Harapan memberi bantuan barangan keperluan asas kepada keluarga terjejas, sekali gus mencerminkan nilai empati dan solidariti sosial mahasiswa.
Sementara itu, Pengetua KUO, Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan dalam majlis penutup berkata, pembelajaran berasaskan pengalaman penting dalam membentuk mahasiswa berkeperibadian holistik dan berkepekaan sosial.
Projek Legasi Ratna terus menjadi wadah latihan kepimpinan dan kesukarelawanan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi UPSI melahirkan graduan berjiwa besar dan komited terhadap khidmat kemasyarakatan. — Edisi 9

