Monday, July 20, 2026

CAS tangguh gantung pemain warisan, Vietnam pula cemas!

Ini bermakna tujuh pemain warisan berdarah Amerika Latin yang digeruni Vietnam sebelum ini bakal dibenar kembali memperkuatkan Harimau Malaya.

Mesti Baca

GEMBIRA buat Harimau Malaya tetapi tidak bagi Vietnam yang akan membuat perhitungan terakhir Mac ini bagi mencari satu slot dari Kumpulan F ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi tahun depan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menagguhkan penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebelum ini, sehingga kes rayuan diputuskan.

Ini bermakna tujuh pemain warisan berdarah Amerika Latin yang digeruni Vietnam sebelum ini, iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel dibenar kembali memperkuatkan Harimau Malaya.

Itupun sekiranya keputusan rayuan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan kes pemalsuan dokumen pemain terbabit diputuskan selepas Mac tahun ini.

Hari ini, FAM mendedahkan surat pengesahan berhubung keputusan CAS itu terhadap pemain terbabit dan salinannya turut diserahkan kepada lima ahli bersekutu FIFA untuk mereka patuhi.

Lima ahli terbabit ialah Persatuan Bola Sepak Argentina, Federasi Bola Sepak Columbia, Persatuan Bola Sepak Diraja Sepanyol, Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda serta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang mana kesemua pemain terbabit bernaung di bawahnya.

“Sehubungan itu, persatuan ahli dan konfederasi yang disalin dalam surat ini diminta untuk segera menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas para pemain di peringkat domestik dan benua,” kata surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Bahagian Disiplin FIFA, Américo Espallargas.

Malaysia akan berdepan Vietnam di Hanoi dalam perlawanan terakhir Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac ini.

Pada masa kini skuad bimbingan Peter Cklamovski sedang mendahului kumpulan dengan mengutip 15 mata hasil kemenangan kesemua lima perlawanan.

Vietnam pula yang tewas 0-4 kepada Malaysia pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor menghuni tangga kedua dengan 12 mata dan memerlukan menang pada aksi bertemu Malaysia nanti untuk mara.

Sementara itu peluang dua lagi pasukan dalam Kumpulan F iaitu Laos dan Nepal sudah tertutup. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan