Sunday, July 19, 2026

Malaysia hormati keputusan AFC, fokus hadapi Vietnam – Rob

Pada masa yang sama, perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

Mesti Baca

SKUAD bola sepak kebangsaan menghormati keputusan yang dibuat oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung pemotongan mata, namun pada masa sama sedang meneliti perkara tersebut melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rob Friend, walaupun keputusan oleh Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC itu memberi kesan kepada kedudukan pasukan, fokus utama ketika ini adalah memastikan kebajikan pemain dan kakitangan terus terpelihara.

“Kami menghormati proses peraturan pertandingan. Pada masa yang sama, perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Friend, pihaknya tidak akan membiarkan isu berkenaan mengganggu persiapan skuad bimbingan Peter Cklamovski itu menjelang aksi terakhir Kumpulan C, Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam di Hanoi, hujung bulan ini.

“Tumpuan kami kini sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan akan datang menentang Vietnam, di mana pasukan akan beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin yang sama seperti yang telah ditunjukkan sepanjang tahun 2025,” tegas beliau.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semangat dalam kem negara kekal utuh, dengan semua pihak bersatu hati untuk membawa cabaran Malaysia ke tahap terbaik.

Dalam pada itu, Friend merakamkan penghargaan kepada para penyokong Harimau Malaya yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi walaupun pasukan berdepan cabaran.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap pasukan,” katanya.

AFC sebelum ini membatalkan kemenangan Harimau Malaya ke atas Nepal dan Vietnam serta memberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan kerana menurunkan pemain tidak layak.

Keputusan AFC itu menyebabkan Malaysia kehilangan enam mata dan jatuh ke tempat kedua Kumpulan C, sekali gus meranapkan impian untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Perkembangan tersebut mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan pemerhati bola sepak tanah air, namun kem Malaysia dilihat kekal tenang dan profesional dalam mengurus situasi tersebut.

Bahkan sehingga kini, Harimau Malaya masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan dipanggil bagi menghadapi Vietnam, biarpun masa hanya tinggal kira-kira dua minggu.

Sebaliknya, Vietnam yang sudah boleh bersorak riang kerana berjaya menempah slot ke Arab Saudi, telah mempersiapkan skuad mereka lebih awal.

Dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun tahun lalu, Malaysia yang menurunkan lima pemain yang didakwa menggunakan dokumen palsu, menang dengan jaringan besar 4-0. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan