SETELAH harapan ke Piala Asia 2027 berkecai angkara pemalsuan dokumen pemain warisan ‘mi segera’, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tetap memasang sasaran membawa skuad kebangsaan ke Piala Dunia.
Pengendali dari Australia itu berkata, sasaran tersebut sudah ditetapkan sejak tiba di negara ini dan ia masih berada dalam perancangan.
“Sejak tiba, saya memang dah jatuh cinta dengan negara ini. Bekerja dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan memberi pengalaman yang baik dengan saya.
“Kita sudah ada perancangan jangka pendek dengan layak ke Piala Asia dan pelan jangka panjang iaitu melihat negara ini beraksi di pentas Piala Dunia.
“Saya rasa tiada apa yang berubah meskipun kita kecewa dengan situasi yang berlaku atas faktor luar padang (isu pemalsuan dokumen) sebelum ini,” katanya malam tadi.

Pengendali berusia 47 tahun itu dibawa ke negara ini pada Disember 2024 di bawah projek revolusi skuad kebangsaan.
Pada awalnya segalanya tampak positif dengan bantuan tujuh pemain warisan dari Amerika Latin dan Sepanyol yang dibawa masuk.
Mereka ialah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Bagaimana pun, segalanya berkecai apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pemain terbabit mendapat kewarganegaraan Malaysia dengan jalan salah sehingga dihukum penggantungan selama 12 bulan.
Ekoran itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengambil tindakan membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2027 diganti dengan kekalahan 3-0 kerana menurunkan pemain terbabit.
Kini masa depan Cklamovski pula menjadi tanda tanya sejak skandal pemalsuan dokumen tersebut ‘pecah’ yang turut membawa peletakan jawatan kesemua barisan exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menanggapi isu luar padang itu, Cklamovski berkata, fokus beliau dan barisan kejurulatihan serta pemain pada masa kini adalah menghadapi perlawanan penting bertemu Vietnam di Hanoi Selasa depan dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
“Saya rasa tiada apa yang berubah meskipun kita kecewa dengan situasi yang berlaku atas faktor luar padang (isu pemalsuan dokumen) sebelum ini.
“Namun, fokus sekarang bukan mengenai masa depan saya, tetapi lebih kepada persiapan pasukan untuk mengharungi perlawanan penting nanti,” katanya.
Biarpun Vietnam sudah menempah slot ke Arab Saudi setelah menjuarai Kumpulan F, namun perlawanan tersebut amat penting bagi Harimau Malaya, setidak-tidaknya untuk membaiki semula ranking setelah terpelosok ke tangga 135 dunia ekoran hukuman yang dikenakan FIFA dan AFC sebelum ini. — Edisi 9

