Monday, July 20, 2026

Malaysia diisytihar kalah 3-0 dalam dua aksi Kelayakan Piala Asia

Keputusan itu menutup jalan skuad kendalian Peter Cklamovski untuk ke mara ke peringkat akhir kejohanan di Arab Saudi biarpun bersisa satu lagi perlawanan hujung bulan ini.

Mesti Baca

KEMENANGAN Malaysia dalam dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dibatalkan sebaliknya dihukum dengan kekalahan 3-0 lantaran menurunkan pemain tidak layak dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini tersebut sekaligus menutup jalan skuad kendalian Peter Cklamovski untuk ke mara ke peringkat akhir kejohanan di Arab Saudi biarpun bersisa satu lagi perlawanan hujung bulan ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, dua aksi terbabit ialah bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 2-0.

Satu lagi ialah ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 4-0.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC, Jahangir Baglari itu mendapati bahawa FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan tersebut.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC,” kata kenyataan FAM hari ini.

Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).

“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” kata FAM.

Dalam kedua-dua aksi tersebut, Malaysia telah menurunkan antara tujuh pemain warisan yang didakwa menggunakan dokumen palsu.

Mereka ialah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sebelum ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain yang terbabit dalam isu pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Bagaimanapun, hukuman itu hanya membabitkan larangan beraksi dalam perlawanan rasmi dan tidak meliputi semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS dalam kenyataan rasmi memaklumkan rayuan yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit diterima sebahagiannya apabila sekatan dipinda kepada larangan bermain perlawanan sahaja.

Pada masa sama, rayuan gabungan oleh FAM ditolak dan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas badan induk bola sepak negara itu kekal berkuat kuasa. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan