TINDAKAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), M. Kulasegaran mengiringi seorang individu yang bakal didakwa di mahkamah, Arun Dorasamy mencetuskan persoalan serius dalam kalangan rakyat berhubung integriti dan kebebasan sistem perundangan negara.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, kehadiran seorang anggota pentadbiran kerajaan dalam situasi sedemikian boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.
Menurut beliau, situasi berkenaan menjadi lebih ketara apabila dibandingkan dengan satu lagi kes di Kuala Lumpur yang menyaksikan tertuduh dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari dan dikawal ketat pihak polis.
Tegas beliau, ini sekali gus memperlihatkan layanan berbeza terhadap dua individu yang berdepan pertuduhan sama.
“Tindakan sebegini menimbulkan persepsi yang tidak sihat terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman dan kesaksamaan undang-undang.
“Takkanlah Timbalan Menteri Undang-Undang yang pernah jadi peguam tak faham hal ini?

“Mahkamah adalah institusi yang mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh, samada secara langsung atau tidak langsung,” katanya hari ini.
Kulasegaran sebelum ini dilaporkan mengiringi Arun sewaktu tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan sebuah video di aplikasi Whatsapp.
Arun didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya
Tambah Dr Akmal, meskipun proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan secara bebas dan adil, tindakan tersebut tetap mengundang persepsi tidak sihat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
“Mahkamah adalah institusi yang mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh, samada secara langsung atau tidak langsung.
“Sekalipun kehadiran Timbalan Menteri Undang-Undang mungkin tidak bertujuan untuk mencampuri proses keadilan, persepsi awam adalah sangat penting.
“Justice must not only be done, but must also be seen to be done. Sekali lagi, takkan Timbalan Menteri Undang-Undang yang pernah jadi peguam tak tahu pasal benda ni?,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penjelasan segera diberikan bagi merungkai kekeliruan yang timbul, sekali gus mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Sementara itu seorang peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut mempersoalkan kehadiran Timbalan Menteri dari DAP itu.
Beliau yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia berkata, seorang Timbalan Menteri Undang Undang tidak sepatutnya hadir bersama OKT kerana ia boleh menggambarkan campur tangan kepada kehakiman.

“Seolah-olah ia memberi gambaran kepada Majistret (bahawa) OKT tidak bersalah sedangkan belum dibicarakan. Ia juga mungkin memberi rasa kegusaran kepada Majistret.
“YBTM (Kulasegaran) buatlah kerja YB. Biar undang undang menjalankan prosesnya. Sudah nampak perbezaan pun seorang dituduh tidak bergari seorang lagi di Kuala Lumpur bergari pula. Ini mungkin implikasi kehadiran YB,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, tokoh akademik, Tan Sri Dr Nordin Kardi menganggap tindakan Kulasegaran adalah pilihan peribadi yang tidak beretika bagi seorang penjawat awam, yang akhirnya merosakkan imej keadilan negara.
Justeru, beliau khawatir tindakan tersebut adalah disengajakan untuk mensabotaj Kerajaan Madani yang sedang bertungkus-lumus memastikan kebajikan rakyat terjaga.

“Yang menjadi keraguan ialah adakah ini tindakan sengaja mensabotaj imej Kerajaan Madani yang sedang bertungkus lumus memastikan kebajikan rakyat terjaga dan aman dalam keadaan dunia tak menentu sekarang dan dalam cabaran menghadapi PRU-16 dengan masa yang sudah sangat mepet (dekat).
“Namun sesuatu niat di hati itu sangat mustahil dibuktikan di mana-mana mahkamah,” katanya. — Edisi 9

